suria

Ahmad Shabery Yakin Isu Permit Kerja Dorong Pemain Tingkatkan Prestasi

PASIR MAS: Kementerian Belia dan Sukan yakin isu permit kerja akan menjadi pendorong kepada pemain bola sepak kebangsaan meningkatkan prestasi bagi menaikkan ranking negara pada kedudukan lebih baik jika mahu beraksi pada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya sedia maklum bukan sesuatu yang mudah bagi pemain negara beraksi di luar negara terutama dalam EPL jika ranking pasukan kebangsaan dijadikan ukuran itu.

"Saya akui bukan mudah untuk pemain mendapatkan permit kerja kerana hanya pasukan yang berkedudukan 70 teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memenuhi syarat untuk beraksi dalam EPL.

"Malangnya ranking kita sekitar 140 dan ini sudah tentu akan mengambil masa yang lama bagi mengubah kedudukan itu dan peluang yang ditawarkan kepada pemain untuk menjalani ujian dan latihan di sana adalah sangat bermakna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Belia Beliawanis dan Pemimpin Masyarakat Siam Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek, Repek di sini, Khamis.

Ahmad Shabery berkata demikian semasa mengulas kenyataan Pengurus Queens Park Rangers, Neil Warnock yang menyatakan masalah permit kerja mungkin menjadi halangan utama bagi pemain negara untuk beraksi di liga itu.

Selain itu, berita pemain negara, Mohd Safee Mohd Sali yang disahkan akan menjalani ujian dan latihan dengan Cardiff City pada 12 hingga 27 September ini juga disifatkan Ahmad Shabery sebagai landasan terbaik buat pemain negara membuktikan kehebatan anak tempatan.

"Kalau pemain kita berpotensi, berkemungkinan akan ada usaha untuk mengecualikan syarat permit kerja bagi membolehkan pemain negara beraksi dan jika ini berlaku tidak mustahil suatu hari nanti kita akan mendengar nama pemain Malaysia yang bermain di sana," katanya.

Beliau berkata sukan bola sepak juga kini merupakan satu industri yang mana Asia dilihat sebagai pasaran yang pesat berkembang dan sebab itu pemain dari rantau Asia kini menjadi pilihan kelab-kelab ternama untuk beraksi dengan mereka.

"Jika ada pemain Asia beraksi dengan kelab EPL itu ia merupakan satu lonjakan perniagaan kepada kelab terbabit meluaskan pasaran mereka yang sudah tentu pengikutnya adalah besar dan ini juga adalah satu strategi pemasaran," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery kecewa dengan kerajaan Kelantan yang langsung tidak membantu perkembangan sukan di negeri ini dengan dilaporkan tidak menyediakan dana untuk mengangkat martabat sukan.

"Mereka tidak mempedulikan soal sukan berbanding di Kedah dan Selangor yang juga diperintah pembangkang namun kerajaan negeri mereka ada menyediakan geran tahunan berbanding Kelantan," katanya.

Menurutnya sudahlah soal sukan tidak dititkberatkan malah sanggup untuk menaikkan caj penggunaan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV ketika pasukan Kelantan sedang menempa nama.

"Ini tidak menunjukkan langsung sokongan kerajaan negeri dan selain bola sepak dan ragbi, yang lainnya masih tidak menonjol. Saya tahu ini melalui laporan daripada Majlis Sukan Negeri dan Kelantan kini tercicir banyak dalam sukan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Ahmad Shabery yakin jika kerajaan Barisan Nasional dapat memerintah semula Kelantan, negeri itu akan mampu menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (Sukma) nanti.

"Kita akan bina venue-venue baru bagi membolehkan Kelantan menjadi tuan rumah pada Sukma pada masa akan datang," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bahrain Tewaskan Indonesia 2-0

Artikel Lain