suria

FAM Lulus Elaun Tambahan Kepada Pengadil Liga Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan eluan makan tambahan sebanyak RM100 kepada semua pengadil tempatan yang terlibat dalam perlawanan Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM Datuk Astaman Abdul Aziz berkata Mesyuarat Jawatakuasa Exco FAM baru-baru ini juga meluluskan dua lagi elaun tambahan iaitu elaun perjalanan dan elaun hotel akan diberikan kepada pengadil bermula dengan perlawanan Piala Malaysia pada Selasa.

"Bagi mengelak kelewatan bayaran eluan tersebut, FAM telah menetapkan bahawa bayaran secara tunai perlu dijelaskan oleh pasukan tuan rumah sebaik tamat perlawanan dan bukan lagi daripada FAM.

"Saya harap pasukan tuan rumah tidak mempunyai masalah untuk mematuhi arahan terbaru itu demi pembangunan bola sepak negara," katanya, Rabu.

Astaman berkata pihaknya faham akan kesulitan yang dihadapi oleh pengadil tempatan sebelum ini dan usaha tersebut adalah bagi menghargai titik peluh dan kepayahan yang dilalui pengadil tempatan sebelum ini.

Beliau juga berharap dengan usaha itu, pengadil tempatan akan lebih bersemangat dan berkerja keras meningkatkan mutu pengendalian bola sepak negara yang dilihat merosot sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Astaman berkata pihaknya risau dengan masalah kekurangan jumlah bilangan pengadil yang layak untuk membuat pengadilan pada perlawanan Liga Malaysia musim hadapan.

"Baru-baru ini pada pertengahan bulan Ogos, kita ada menganjurkan ujian kecerdasan untuk pengadil namun ramai dikalangan pengadil tempatan kandas ketika ujian tersebut menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama enam bulan untuk menjalani ujian yang berikutnya," katanya.

Beliau berkata ramai pengadil berpengalaman kandas dalam ujian kecerdasan tersebut kerana mereka perlu mencapai tahap ujian yang sukar bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Daripada 150 pengadil yang menjalani ujian tersebut hanya lebih kurang 120 orang yang sebahagian besarnya adalah pengadil muda berjaya melepasi ujian tersebut dan angka ini amat membimbangkan kita dan usaha susulan akan dilakukan oleh FAM bagi mengatasi masalah ini,' Katanya.

Astaman berkata kemerosotan bilangan pengadil juga membimbangkan pihaknya dan diharapkan dengan kenaikan eluan makan yang diluluskan oleh FAM akan dapat menarik minat generasi muda untuk berjinak dalam dunia pengadilan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain