suria

Beregu Malaysia Gagal Tandingi Aksi Skuad Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Pemain boling Malaysia gagal menandingi persembahan mantap wakil dari Amerika Syarikat meskipun memberi tentangan yang hebat dalam Kejohanan Wanita Dunia (WWC) yang sedang berlangsung di Hong Kong.

Pasukan Amerika Syarikat, berada di tempat teratas dalam Skuad 1 dan Skuad 2 dalam acara beregu yang diadakan di Hong Kong Bowling City di sini.

Menurut laman web rasmi pertandingan, gandingan dari Malaysia -- Sharon Koh dan Zatil Iman Abdul Ghani -- berkesudahan di tempat kelima setelah melakukan 2,534 jatuhan pin, 246 pin di belakang pemain Amerika Syarikat Shannon Pluhowsky dan Liz Johnson, yang mengumpul 2,780 jatuhan pin.

Dalam perlawanan Skuad 2 yang baru saja berakhir, pasangan Malaysia Esther Cheah dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi terpaksa berpuas hati di tempat ke-13 selepas mengumpul 2,428 jatuhan pin.

Selepas keputusan digabungkan, kedua-dua pasangan Malaysia itu masing-masing berada di tempat ke-13 dan 26.

Harapan Malaysia kini disandarkan kepada pemain muda, Sin Li Jane dan pemain yang baru dinobatkan sebagai juara perseorangan WWC, Jacqueline Sijore, untuk mempamerkan aksi memberangsangkan.

Skuad 3 dijadual turun ke gelanggang pagi Selasa dan empat pasangan terbaik selepas keputusan digandingkan akan mara ke separuh akhir.-BERNAMA

Artikel Berikut

Debaran Pelumba ARRC Di Autopolis

Artikel Lain