suria

Aretha, Ainil Layak Beraksi Pada Sime Darby LPGA

KUALA LUMPUR: Aretha Pan dan Ainil Johani Abu Bakar masing-masing mencatatkan pukulan 16 di atas 158 selepas dua pusingan untuk menduduki tangga teratas sesi kelayakan kebangsaan yang sekaligus menempah tempat dalam Sime Darby LPGA Malaysia 2011.

Pertandingan golf wanita berprestij di rantau ini akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Bukit Kiara pada 13-16 Oktober.

Ainil Johani, 21, yang menjadi pemain profesional tahun lepas berkata beliau amat teruja untuk beraksi dalam pertandingan yang diiktiraf LPGA Tour itu.

"Permainan saya hari ini kurang baik tetapi saya gembira kerana saya dapat menyertai pemain bertaraf dunia dalam Sime Darby LPGA Malaysia.

"Saya perlu lebih banyak berlatih daripada segi pukulan dan juga perlu melakukan banyak senaman kecergasan. Beberapa hari lepas, pukulan saya tidak begitu baik dan saya perlu baikinya," kata Ainil Johani, dan menurutnya beliau mahu menamatkan cabaran dalam kelompok 20 terbaik.

Sementara itu, Aretha, yang layak ke Sime Darby LPGA Malaysia buat kali kedua, berharap beliau mampu mengatasi rasa gementar bertanding dengan pemain golf wanita terbaik di dunia.

"Tahun lepas, saya benar-benar tidak dapat memberi tumpuan pada permainan saya. Saya sekadar menyaksikan permainan pemain profesional lain. Tetapi tahun ini, saya mahu menumpukan pada permainan saya sendiri," kata Aretha.

Sementara itu, Porani Chutichai dan Tanaporn Kongkiatkrai turut menempah tempat dalam kejohanan itu, masing-masing dengan catatan enam di atas 148 dan tujuh di atas 149.

Kedua-dua pemain Thailand itu menduduki tangga terats sesi kelayakan serantau yang diadakan serentak dengan sesi kelayakan kebangsaan.

"Saya tidak bermain dengan cemerlang tetapi agak berpuas hati dengan prestasi saya. Saya masih menghadapi masalah dengan kayu pemukul saya. Padang ini amat sukar dan rumputnya kasar dan sukar untuk memukul bola. "Tahun lepas saya terlepas peluang pada sesi kelayakan oleh beberapa pukulan, jadi rasa amat seronok apabila berjaya," kata Porani, 26, yang menjadi pemain profesional pada 2005.

Sejak dua hari lepas, 20 pemain muda dari Brunei, Thailand, Korea, Singapura dan Malaysia bersaing pada sesi itu.

"Keupayaan acara ini ialah menyediakan peluang bukan sahaja kepada pemain Malaysia tetapi juga pemain di rantau ini. Ia merupakan peluang keemasan.

"Untuk memberikan pemain tempatan peluang bersaing dengan mereka (pemain golf wanita terkemuka) dalam kejohanan empat hari ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam dunia golf," kata Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Bersama Global IMG Golf, Robbie Henchman.

Empat pemain yang layak akan berpeluang menguji kemahiran mereka bersaing dengan 62 pemain terkemuka daripada senarai LPGA Tour's Official Money List (setakat 14 Sept) dan enam pemain jemputan penaja.

Kejohanan empat hari itu menawarkan hadiah wang tunai US$1.9 juta (kira-kira RM5.6 juta).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bahrain Tewaskan Indonesia 2-0

Artikel Lain