suria

Indonesia Anjur Acara Percubaan Sebelum Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Indonesia dijangka akan mengadakan beberapa siri acara percubaan menjelang Sukan SEA ke-26 pada 11 hingga 23 November ini.

Rachmat Gobel, Pengarah Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) dipetik oleh portal berita Jakarta Globe sebagai berkata walaupun peruntukan kewangan dikurangkan, penganjur bersama Palembang dan Jakarta mesti bersedia untuk mengadakan acara percubaan sebelum bermulanya kejohanan dwitahunan itu.

Ibu kota provinsi Sumatera Selatan, Palembang akan menganjurkan hampir 20 acara sukan percubaan bermula bulan ini.

Persatuan Renang Seluruh Indonesia (PRSI) akan mengadakan 'the Asian Age Group Championships' dari 29 Sept hingga 6 Oktober iaitu termasuk acara renang, terjun, renang berirama dan polo air.

Pusat akuatik di kompleks sukan Jakabaring dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh itu.

Biliard, besbol dan softball akan turut mengadakan kejohanan jemputan bulan ini, begitu juga renang sirip, menembak dan gusti.

Di Jakarta, Federasi Olahraga Karate-Do Indonesia (Forki) menganjurkan Kejohanan Karate Terbuka Indonesia dari 30 Mei hingga 1 Jun lepas di Stadium Tenis Tertutup Gelora Bung Karno, manakala Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) menganjurkan Siri Super Premier Terbuka Indonesia pada Jun.

Untuk menganjurkan acara percubaan itu, Kementerian Ehwal Sukan dan Belia Indonesia menyediakan US$17,600 (RM52,580) kepada semua 43 persatuan sukan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain