suria

MSN Setuju Bayar Tunggakan Gaji Harun Sebanyak Lima Bulan

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan membayar gaji Harun Rasheed yang tertunggak selama lima bulan sahaja kerana ketua jurulatih olahraga kebangsaan itu didakwa menghilangkan diri pada 23 Mei.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata Harun akan menerima gaji berjumlah RM20,000 berbanding RM32,000 yang dituntutnya.

"MSN akan mengeluarkan geran kepada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk membayar gaji jurulatih itu dari Januari hingga Mei," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Harun sebelum ini menuntut MSN membayar tunggakan gajinya selama lapan bulan iaitu dari Januari hingga Ogos dengan jumlah tunggakan itu mencecah RM32,000.

Menjelas lanjut, Zolkples berkata pelantikan Harun dan pembayaran gajinya tidak dapat dilakukan selepas jurulatih itu menghilang diri bersama tiga atletnya ketika diminta menjalani ujian anti-doping pada Mei.

Harun dan Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd Noor Imran Hadi dikatakan menghilangkan diri dengan terus ke Bulgaria untuk menjalani latihan selepas diminta menjalani ujian anti-doping di Institut Sukan Negara.

"Sebab itu, MSN hanya akan bayar gajinya sehingga tarikh sebelum dia menghilangkan diri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zolkples berkata Jawatankuasa Kerja (JKK) antara MSN dan KOAM bersetuju untuk membincangkan program akhir untuk atlet olahraga menghadapi Sukan SEA Indonesia walaupun persatuan belum menyerahkan senarai nama terakhir kepada jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata antara persetujuan yang dicapai pada mesyuarat itu ialah atlet olahraga boleh mengadakan latihan pusat fasa terakhir di Ranau,Sabah.

"Satu jawatankuasa akan dibentuk untuk membincangkan sama ada Ranau sesuai sebagai tempat latihan berdasarkan kemudahan sedia ada seperti trek dah khidmat sokongan," katanya.

Zolkples berkata 14 atlet olahraga layak secara merit untuk bertanding pada temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November.

"Mesyuarat bersetuju untuk menghantar lima atlet yang layak secara merit seperti Noraseela Mohd Khalid dan Mohd Robani Hassan untuk menjalani latihan di Afrika Selatan," katanya.

Beliu berkata beberapa atlet negara akan turut dihantar menjalani latihan di luar negara seperti Lee Hup Wei (Jerman), Teoh Boon Lim (Kunming, China), Lo Chong Siang (Kunming, China) dan Norliana Mohd Rusni (Kunming, China).

Sementara itu, Zolkples berkata mesyuarat JKK juga bersetuju untuk membentuk kembali kuartet 4x100 meter wanita bagi melayakkan diri ke Sukan SEA Indonesia.

"Sudah banyak masa terbuang kerana kuartet ini tidak menjalani latihan bersama sejak dua bulan lepas. Kuartet 4x100 ini akan diletakkan di bawah jurulatih Tan Kok Lim," katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu turut bersetuju supaya Harun bertindak sebagai pemantau untuk keseluruhan perjalanan program latihan atlet olahraga. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain