suria

Universiade: Mohamad Roslan Bakat Baru Dalam Sukan Lawan Pedang

SHENZHEN: Walaupun masih belum memenangi pingat pada hari ketiga temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade), kejayaan atlet junior lawan pedang negara, Mohamad Roslan Mohamed mara ke pusingan ketiga acara epee individu lelaki harus diberi pujian.

Mohamad Roslan, 20, menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik namun gagal mara ke pusingan berikutnya setelah tewas kepada atlet Finland, Niko Vuorinen dengan mata 6-15 pada perlawanan yang berlangsung di Exhibition Center 9th Hall dekat sini.

Atlet yang berasal dari Kelantan itu berkata beliau tidak pecaya mampu mara ke pusingan ketiga sedangkan ramai pemain handalan dunia terpaksa ditempuhi olehnya.

"Penyertaan ini cukup bermakna buat diri saya kerana ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan bertaraf dunia.

"Banyak perkara baru yang saya dapat pelajari menerusi temasya ini dan saya harap mampu mara ke pusingan yang lebih tinggi sekiranya masih diberi peluang untuk beraksi pada edisi Universiade yang berikutnya," katanya kepada Bernama Ahad.

Mohamad Roslan berharap penyertaan di Universiade banyak membantunya dalam melakukan persedian bagi menghadapi temasya Sukan SEA, Indonesia pada hujung tahun ini.

Sementara itu, pengurus pasukan lawan pedang negara, Abdul Malik Abdul Ghani berkata anak didiknya itu mempunyai bakat, saiz badan dan semangat yang tinggi dan berupaya untuk pergi jauh sekiranya diberi peluang.

"Mohamad Roslan punyai pakej yang diperlukan oleh atlet lawan pedang namun kekurangan pendedahan menyebabkan beliau tidak mampu untuk mara ke peringkat yang lebih baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain