suria

KBS Tidak Akan Campur Tangan Pembinaan Velodrom Dungun

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan tidak akan campur tangan sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) berhasrat meneruskan pembinaan Velodrom Dungun yang dikatakan mencecah RM36juta sedangkan jangkaan kos asal hanyalah RM3.5 juta.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada asalnya kementerian melalui Majlis Sukan Negara hanya mahu membina sebuah mini velodrom di kawasan itu bagi tujuan latihan dan mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan itu.

"Kita tidak bercadang gunakan sebagai gelanggang profesional untuk pertandingan-pertandingan besar kerana kerajaan telah bercadang untuk membina sebuah velodrom bertaraf antarabangsa di Labu, Negeri Sembilan yang dijangka akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat.

"Jadi ia (pembinaan velodrom penuh di Dungun) di luar matlamat asal. Tetapi jika JKR mahu teruskan kita tidak akan campur tangan. Kita akan bantu dari segi pembangunan pemain sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertandingan tenis tertutup daerah Kemaman di sini, petang Sabtu.

Katanya, MSN sebelum ini telahpun menyalurkan peruntukan sebanyak RM2juta untuk pembinaan mini velodrom itu dengan menempatkan trek sepanjang 333 meter, manakala kerajaan negeri menaja kos selebihnya untuk pembangunan tanah.

Majlis pecah tanah pembinaan mini velodrom di Dungun dilakukan pada bulan Ogos tahun lepas di kawasan seluas 12 hektar di Kampung Balai Besar Dungun dengan jangkaan awal kos sebanyak RM3.5juta.

Bagaimanapun, setelah pelannya disiapkan oleh JKR, kosnya dilaporkan bakal mencecah RM36 juta menyebabkan MSN meminta jabatan itu mengkaji semula cadangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain