suria

Zamri Terpantas Dalam Ujian Masa Kejuaraan Cub Prix Di Batu Kawan

BATU KAWAN: Mohd Zamri Baba menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki untuk mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa CP130 pusingan kedua, siri kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Batu Kawan di sini, Sabtu.

Selain muncul pelumba terpantas sesi ujian masa CP130, catatan 54.418saat yang dilakukan Zamri turut mengatasi rekod catatan masa sepusingan terpantas di litar ini 55.148s yang dilakukan oleh Azlan Shah Kamaruzaman tahun lepas.

Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu berkata beliau tidak menyangka mampu mencipta masa yang begitu baik termasuk mengatasi rekod catatan terpantas di Batu Kawan milik Azlan.

"Saya percaya cuaca yang baik merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi ujian masa saya. Saya harap dapat muncul juara kali ini, bukan hanya sebagai kemenangan pertama musim ini, namun kemenangan pertama sejak musim lepas lagi," katanya.

Mohd Zamri pernah menamatkan perlumbaan di tempat kedua sebanyak empat kali pada musim lepas dan baru-baru ini di Kangar beliau juga berada di podium yang kedua.

Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing mencatatkan masa kedua terpantas 54.856s manakala seorang lagi pelumba berpengalaman, Ahmad Fazli Sham Ahmad Walat (Pennzoil Fastrac) ketiga dengan catatan masa 54.926s.

Saingan kategori CP115 pula menyaksikan Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) mencatat masa terpantas dalam ujian masa hari ini dengan kepantasan 56.201s, menewaskan juara CP115 di Kangar, bulan lepas, Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM).

Shahril yang beraksi di hadapan penyokong sendiri sekadar mencatatkan 56.262s manakala seorang lagi pelumba tempatan, Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) di kedudukan ketiga dengan catatan masa 56.346s.

Bagi Ahmad Muhaimin keadaan litar yang baik membolehkannya beraksi dengan begitu baik, namun masalah pelarasan jenteranya yang masih belum sempurna menghalang beliau daripada membuat catatan masa yang lebih pantas.

"Jika semua masalah yang ada pada jentera saya dapat diatasi dengan segera, saya yakin dapat mencatat masa yang lebih baik pada hari esok, bagaimanapun saya tidak berani meletakkan harapan yang tinggi untuk muncul juara memandangkan saingan yang hebat daripada pelumba-pelumba lain," katanya.

Sementara itu, dalam kategori Wira, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) muncul pelumba terpantas apabila mencatat masa 57.898s dalam ujian masa hari ini mengatasi juara keseluruhan tahun lalu, Mohd Adib Mohd Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) di kedudukan kedua.

Mohd Adib yang juga juara di litar ini musim lepas sekadar ketinggalan 0.100s kepada Zulsyafiz manakala Mohd Solehin Mohd Sukor (Honda Promax X-Dot Racing) di kedudukan ketiga dengan catatan masa 58.047s.

"Saya mahu mengatasi masa yang dicatatkan tahun lalu tetapi tidak berjaya kerana keadaan litar agak licin memandangkan ia baru diturap semula.

"Pada perlumbaan esok, saya akan melakukan yang terbaik untuk meraih kejuaraan pertama saya," kata beliau yang sudah beraksi dalam kategori itu sejak tahun 2009. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain