suria

Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Disertai Pemain Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR: Kejohanan golf Terbuka Malaysia edisi ke-50 yang bermula Khamis hingga Ahad ini di Kuala Lumpur Golf and Country Club di Bukit Kiara akan disertai oleh pemain terhebat pernah beraksi dalam sejarah kejohanan itu.

Pengajur kejohanan Persatuan Golf Malaysia (MGA) menjanjikan kejohanan itu yang turut meraikan sambutan jubli emasnya sebagai kenangan yang bakal diingati untuk beberapa tahun akan datang.

Dengan hadiah wang tunai berjumlah di US$2.5 juta ia menarik penyertaan pemain golf terkemuka dunia.

Antaranya Charl Schwartzel dari Afrika Selatan yang baru menjuarai kejohanan US Masters di Augusta National Golf Club Ahad lalu.

Semasa sesi bertemu pemain di sini hari ini, beliau berkata beliau gembira dengan kejayaannya itu dan belum sempat meraikannya.

Buat pertama kali juga, peminat golf tempatan berpeluang menyaksikan pemain nombor satu dunia Martin Kaymer dari Jerman beraksi.

"Saya kini memikirkan tentang Terbuka Malaysia. Ia penting bagi saya dan kamu tidak boleh mengalih pertandingan ini daripada saya," katanya yang menjuarai Kejohanan PGA tahun lalu.

Yang turut bakal beraksi ialah Rory McIlroy dari Ireland yang menyifatkan Terbuka Malaysia sebagai cabaran hebat buatnya.

Lain-lain pemain antarabangsa yang mengesahkan penyertaan ialah penyandang juara Terbuka British Louis Oosthuizen, Matteo Manassero, John Parry, Andrew Dodt, Soren Kjeldsen, Pablo Martin, Rhys Davies, Thongchai Jaidee, Noh Seung-yul dan Marcus Fraser.

Malaysia pula menaruh harapan kepada 16 pemain profesional seperti Danny Chia, Iain Steel, Ben Leong, Mohd Shaaban Hussin, Rashid Ismail, R. Nachimuthu, A. Sasar, Mohamad Hanafiah Mohd Jamil, Akmal Tarmizee Nazari, M. Sasidaran, S. Sivachandran, Airil Rizman Zahari, Khor Kheng Hwai, Sukree Othman, Nicholas Fung dan Shaifubari Muda.

Sementara enam pemain amatur pula ialah Mohd Azman Basharudin, Kenneth de Silva, Mohd Hisyam Majid, Jeremiah Kim, Chan Tuck Soon dan Gavin Kyle Green yang berharap dapat menimba pengalaman berharga daripada kejohanan ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain