suria

Shpilevsky Raih Juara Peringkat Kesembilan

NILAI: Perlumbaan peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 menyaksikan pelumba pasukan Tabriz Petrochemichal, Boris Shpilevsky menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada saingan dari Bandar Melaka ke Nilai, Isnin.

Shpilevsky mencatat masa 2 jam 40 minit 52 saat, dua saat di depan Perrig Quemeneur dari pasukan Team Europcar, diikuti tempat ketiga Robert Forster (United Healthcare Pro Cycling).

Sebelum itu, perlumbaan permulaan terpaksa ditangguhkan pada pukul 12 tengah hari akibat banjir di beberapa lokasi sehingga memaksa pihak penganjur mengubah laluan dari kilometer 18 hingga 80 iaitu Alor Gajah, Durian Tunggal hingga Linggi dan Rantau.

Dengan laluan baru ini, Shpilevsky akhirnya berjaya mencapai sasarannya untuk kemenangan podium selepas berada di tempat kedua pada peringkat kedua (Kangar-Butterworth).

"Pada perlumbaan hari ini, saya memang tidak menyasarkan untuk jadi pemenang kerana sedar saingan semakin sengit. Apa yang saya lakukan hanya fokus untuk menamatkan perlumbaan.

"Memang tidak dinafikan kayuhan hari ini lebih pantas daripada biasa kerana tidak ada zon pendakian. Ini menyebabkan setiap pasukan boleh mengatur strategi dari awal perlumbaan lagi," katanya kepada media selepas tamat perlumbaan.

Shpilevsky berkata, kejayaan ini merupakan pencapaian yang terbaik sejak lapan peringkat sebelum ini. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu dalam melancarkan perlumbaan hari ini," katanya.

Peringkat sembilan ini juga menyaksikan jarak perlumbaan turut berubah dari 151.7 km berubah menjadi 127km disebabkan perubahan laluan.

Sementara itu, kategori Raja Bukit (Jersi Biru) pelumba dari Farnase Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini kukuh menguasai kategori itu selepas mengumpul 99 mata keseluruhan, meninggalkan jauh pelumba Terengganu Cycling Team, Anuar Manan ditempat ketiga (76 mata), manakal tempat kedua diambil alih pelumba Tabriz Petrochemichal Team, Boris Shpilevsky (80 mata).

Bagi Jersi Kuning (Pelumba Terbaik Keseluruhan), Jonnatha Monsalve (Androni Giocattoli) tampaknya semakin mengukuh kedudukan dengan mengumpul catatan masa terbaik keseluruhan, 27 jam 44'27", kelebihan lima saat di depan pelumba benua dari Malaysia, Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor.

Selain mengekalkan Jersi Kuning dua hari berturut-turut, Monsalve juga turut memegang gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) dengan keadaan agak selesa selepas mengumpul 45 mata, manakala pelumba Azad University Cycling Team, Rahim Emami di tangga kedua (35 mata).

Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Malasia pula masih mendahului kedudukan bagi semua pelumba Asia lain apabila Emami mengukuhkan penguasaan dengan catatan masa keseluruhan 25 jam 03'36", meninggalkan 30 saat pelumba dari Hossien Askari (Tabriz Petrochemical Team).

Selain itu, pasukan Azad University masih menguasai bagi kedudukan keseluruhan pasukan, diikuti Tabriz Petrochemichal Team dan ketiga Chipotle Development Team.

Pasukan Azad University juga turut berada di kedudukan teratas bagi pasukan Terbaik Asia, diikuti pasukan Max Success Sports.

Perlumbaan terakhir peringkat kesepuluh, Selasa bakal bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menuju ke Kuala Lumpur (Dataran Merdeka) dengan jarak 104.6km.

Pelumba-pelumba bakal menghadapi dua Zon Pendakian (Bukit Cahaya Alam dan Puncak Alam) dan tiga Zon Pecutan di Paya Jaras serta di Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anuar Tekad Untuk Bangkit

Artikel Lain