Perenang Negara Khoo Cai Lin Dinobat Olahragawati Selangor 2009 - Sukan | mStar

Perenang Negara Khoo Cai Lin Dinobat Olahragawati Selangor 2009

Cai Lin dengan piala pusingan Olahragawati Selangor 2009. - Foto BERNAMA
Cai Lin dengan piala pusingan Olahragawati Selangor 2009. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Perenang negara, Khoo Cai Lin pada Jumaat, dinobat Olahragawati Selangor manakala pelumba basikal negara Rizal Tisin muncul sebagai Olahragawan Selangor 2009.

Khoo menerima anugerah itu daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2009 di sini, manakala Mohd Rizal yang tidak dapat hadir kerana menyertai kejohanan dunia di Beijing diwakili bapanya Tisin Ahyar.

Kedua-dua mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM5,000.

Khoo, 22, menerima anugerah itu untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2007 dan Rizal pula merupakan pemenang anugerah itu pada tahun 2008.

Olahragawan Harapan pula dimenangi atlet sukan perahu layar Mohd Faizal Norizan manakala pemain bola keranjang Saw Wei Yin muncul Olahragawati Harapan.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap pada majlis itu berkata Majlis Anugerah Sukan tahun 2009 sepatutnya diadakan pada tahun lepas.

Ia terpaksa diadakan pada tahun ini kerana menunggu pertukaran pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor yang baru, Norzamri Ishak, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

LTdL 2011: Anuar Janjikan Kayuhan Terbaik

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain