suria

LTdL 2011: Lima Pasukan Dari Asia Pasifik Sahkan Penyertaan

Pasukan Tabriz Petrochemical adalah juara bertahan dalam kategori berpasukan keseluruhan LTdL 2010.
Pasukan Tabriz Petrochemical adalah juara bertahan dalam kategori berpasukan keseluruhan LTdL 2010.
Pasukan Tabriz Petrochemical adalah juara bertahan dalam kategori berpasukan keseluruhan LTdL 2010.

KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) mengesahkan lima pasukan akan kembali memeriahkan saingan tahun depan selepas memberikan persembahan positif pada edisi lalu dalam perlumbaan jelajah peringkat Malaysia ini pada 23 Januari hingga 1 Februari 2011.

Pasukan itu adalah Tabriz Petrochemical dari Iran, Aisan Racing Team dari Jepun, Polygon Cycling Team dari Indonesia, Drapac-Porsche dari Australia dan Giant Asia Racing Team dari Taiwan, semuanya pasukan bertaraf benua dari rantau Aia-Pasifik.

“Le Tour de Langkawi adalah satu daripada empat perlumbaan berstatus H.C. Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam Jelajah Asia, dan menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan pendedahan kepada pasukan dari benua kit. “Ada pasukan yang begitu setia dengan penganjuran kita dan kami gembira untuk menjemput mereka sekali lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL, Mohamed Salleh dalam satu kenyataan, Rabu.

Tabriz Petrochemical adalah juara bertahan dalam kategori berpasukan keseluruhan LTdL 2010 selepas mengatasi ISD-Neri dan Footon-Servetto awal tahun ini. Mereka juga mempunyai tiga pelumba yang menduduki 10 kelompok teratas senarai individu dalam perlumbaan yang dimenangi pelumba Venezuela, José Rujano, dengan Hossein Askari di tangga ketiga, Ghader Mizbani di tangga kesembilan dan Ahad Kazemi ke-10.

Penampilan kali pertama Aisan sebagai wakil pasukan Jepun dalam LTdL selepas beberapa tahun diwakili pasukan kebangsaan dan Meitan-Hompo yang mencungkil bintang seperti Yukiya Arashiro dan adik-beradik Fukushima, memberikan kejayaan dengan satu kemenangan peringkat apabila juara kebangsaannya, Taiji Nishitani tanpa dijangka menang satu peringkat apabila menewaskan juara dunia B23, Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skin di Peringkat 4 di Parit Sulong.

Drapac-Porsche lebih menyerlah dengan kejayaan apabila memenangi peringkat terakhir di Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur menerusi pecutan Stuart Shaw, yang menewaskan pelumba Footon-Servetto, Vidal Celis di Dataran Merdeka.

Peter McDonald menduduki tangga keempat keseluruhan dan dimahkotakan sebagai Raja Bukit LTdL 2010. Ada jalinan hubungan yang rapat di antara pasukan dari Australia itu dengan Malaysia kerana pasukan berpengkalan di Melbourne itu turut menggilap bakat pelumba meningkat naik negara, Adiq Husainie Othman.

Bagi jelajah edisi 2011, juara kebangsaan Malaysia itu akan disertai seorang lagi pelumba muda berbakat, Amir Mustafa Rusli yang menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam Jelajah Malaysia.

Pemenang Jelajah Malaysia 2010, David McCann turut akan kembali beraksi bersama pasukan handalan terkenal Taiwan, Giant Asia Racing. Juara Ireland dalam acara ujian masa individu itu mempunyai musim cemerlang dengan memenangi Piala Gabenor Melaka, Jelajah Taiwan dan Jelajah Filipina pada tahun 2010 ini.

“Ada satu perlumbaan yang mahu saya menangi di Asia sebelum bersama, iaitu Le Tour de Langkawi,” kata McCann yang percaya dia akan tampil dengan barisan lebih handal pada LTdL 2011 ini.

Lebih banyak pasukan dijangka akan mengesahkan penyertaan untuk LTdL dalam tempoh beberapa hari ini ketika penganjur bercadang untuk menyenaraikan 23 pasukan menyertai perlumbaan, dengan tiga daripadanya adalah pasukan Malaysia, 10 dari Asia-Pasifik dan 10 dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Selepas tiga tahun, LTdL akan membuka tirai di pulau pelancongan Langkawi sekali lagi pada 23 Januari. LTdL 2011 dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bersama-sama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Perlumbaan 2011 akan diadakan pada 23 Januari hingga 1 Februari, meliputi 10 peringkat dengan jarak keseluruhan 1315.4, bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain