suria

Jangan Pandang Mudah Cabaran Thailand:Misbun

GUANGZHOU: Walaupun pasukan badminton negara pada dasarnya dilihat lebih mantap berbanding Thailand, namun jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek sedar bahawa pemain-pemain dari negara jiran itu boleh membuat kejutan.

Peluang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir acara badminton berpasukan Kejohanan ke-16 Sukan Asia, yang akan bermula di Tianhe Gymnasium, di sini Sabtu tampak sukar.

Malaysia akan berhadapan dengan Thailand dalam saingan peringkat suku akhir selepas mendapat 'bye' dalam pusingan pertama.

"Di atas kertas, skuad negara boleh menyandarkan harapan kepada pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, tapi saya agak bimbang dengan lain-lain pemain," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Pasukan badminton pada Khamis menjalani latihan mereka di Tianhe Gymnasium, kira-kira 40km dari pusat media.

Pemain persorangan lelaki Malaysia yang kedua ialah Muhd Hafiz Hashim manakala yang ketiga adalah antara Liew Darren dan Chan Kwong Beng.

Misbun berkata Chong Wei mungkin berhadapan dengan pemain nombor lapan dunia dari Thailand Boonsak Ponsana, manakala Hafiz (20) akan berentap dengan pemain nombor 29 dunia, Tanongsak Saensomboonsak.

Beliau berkata walaupun Hafiz mempamerkan persembahan hambar dalam saingan Sukan Komanwel New Delhi baru-baru ini apabila beliau kalah kepada pemain India Kashyap Parupalli dalam saingan peringkat suku akhir, pemain yang menjadi juara All England pada 2003 itu menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dalam sesi latihan.

"Saya masih belum tetapkan siapa yang akan jadi perseorangan ketiga, antara Liew Liew Darren dan Kwong Beng," katanya.

Empat tahun lepas di Doha, Qatar, pasukan badminton negara membawa pulang satu pingat emas dan tiga gangsa, yang menyaksikan pasukan negara tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam pertembungan separuh akhir.

Koo/Tan meraih emas dalam beregu lelaki, manakala tiga pingat gangsa diperolehi menerusi Chong Wei (lelaki perseorangn), Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Wong Pei Tty (beregu campuran) dan acara berpasukan.

Acara berpasukan akan bermula Sabtu ini manakala acara individu dari Selasa hingga Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain