suria

MSN Tidak Pernah Abai Kebajikan Jurulatih: Shapawi

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pentadbir sukan itu tidak mengambil kisah tentang kebajikan jurulatih yang berkhidmat dengan badan itu.

Pengarah Bahagian Atlet MSN Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan keperluan semua jurulatih dan atlet yang berada di bawah jagaan mereka.

"Kita sentisa peka dengan kebajikan jurulatih yang berkhidmat dengan pihak MSN, tidak kira samada jurulatih itu adalah warga tempatan mahu pun jurulatih dari luar negara," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa MSN tidak mengambil kisah tentang keadaan jurulatih jarak jauh skuad pelapis, Aziz Mirzaei, yang kini menjalani rawatan di hospital kerana kanser perut.

Beliau menjelaskan jurulatih warga Iran itu mula dikesan menghadapi penyakit itu sejak Februari lepas dan MSN membantunya sejak dari peringkat awal rawatan.

"Aziz kini menjalani rawatan susulan dan saya harap beliau akan segera pulih," katanya.

Shapawi berkata bekas atlet jarak jauh Iran itu adalah seorang jurulatih yang berdedikasi.

Beliau melahirkan rasa kesal atas tindakan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sebelum ini menghantar Aziz ke luar negara walaupun mengetahui tahap kesihatannya. Aziz mula berkhidmat sebagai jurulatih skuad pelapis negara pada awal 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain