suria

Atlet Olahraga Masih Berpeluang Untuk Layak Ke Sukan Asia Guangzhou - MSN

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berharap lebih ramai atlet olahraga di bawah Program Cabaran 2010 dapat layak ke Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini.

Pengarah Bahagian Atlet MSN Ahmad Shapawi Ismail berkata daripada 35 atlet dalam program itu, tujuh atlet telah layak ke Sukan Komanwel New Delhi pada 3 hingga 14 Okt ini dan tujuh lagi ke Sukan Asia Guangzhou pada 12 hingga 27 November depan.

"Walaupun bilangan atlet yang layak adalah kecil tetapi program itu telah mencapai sasaran yang diletakkan oleh MSN," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Program Cabaran 2010, yang bermula pada 2007, merupakan kerjasama antara MSN dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dalam persediaan mencapai kejayaan di Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.

Ahmad Shapawi berkata selain Sukan Asia dan Sukan Komanwel, program itu bermatlamat membantu lebih ramai atlet melepasi had kelayakan ke temasya Sukan SEA di Indonesia tahun depan.

Beliau berkata tiada penambahan atlet dibuat untuk Sukan Komanwel 2010 kerana sudah tamat tempoh pendaftaran manakala bagi Sukan Asia, penyertaan atlet ditutup pada 3 Sept depan.

"Saya harap kita masih mempunyai kesempatan untuk menambah penyertaan atlet ke Guangzhou memandangkan masih terdapat beberapa siri kejohanan kelayakan selepas ini," katanya.

Tujuh atlet olahraga yang layak ke Sukan Komanwel ialah Teoh Boon Lim dan Lo Choon Seng bagi acara 20km jalan kaki, Lee Hup Wei (lompat tinggi), M.Vadivelan (800m), Roslinda Samsu (lompat bergalah), P. Yuvaraj (400m) dan Siti Zubaidah Adabi (100m).

Tujuh atlet yang layak ke Sukan Asia pula ialah Lee Hup Wei (lompat tinggi), Roslinda Samsu (lompat bergalah), dan acara 4x100 wanita yang dibarisi oleh Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdullah Kadir, Siti Zubaidah Adabi dan Yee Yi Ling.

Ahmad Shapawi berkata pengurus pasukan olahraga ke Sukan Komanwel ialah M. Iyaru dan L.T. Mahadevan untuk Sukan Asia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain