suria

Atlet Tempatan Diseru Berlatih Bawah HPTC

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia Mohd Musa Noor Mohd hari ini menggesa agar lebih ramai atlet olahraga tempatan menggunakan peluang berlatih di bawah pusat tersebut.

Beliau berkata selain dapat menggunakan salah satu fasiliti latihan terbaik dunia, atlet turut menikmati kemudahan seperti pakaian, perubatan dan peluang melanjutkan pelajaran secara percuma.

Selain itu katanya, pusat tersebut juga mempunyai dua jurulatih ternama dari luar negara iaitu bekas pemegang rekod dunia lompat bergalah Marina Andreeva dari Rusia dan jurulatih pecut Jorge Diaz dari Cuba.

"Rugi jika anak tempatan tidak menggunakan kepakaran dan kemudahan yang ada di sini untuk memajukan diri sendiri," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Beliau berkata dengan kemudahan dan kepakaran yang ada, HPTC Asia yang terletak di Bukit Jalil itu mampu menyumbang kepada kemajuan sukan olahraga negara.

Setakat ini katanya, terdapat sembilan orang atlet berlatih di bawah pusat itu iaitu seorang atlet tempatan dan lapan yang lain adalah atlet dari luar negara.

Kesemuanya merupakan atlet pecut dan lompat bergalah.

Mengulas lanjut, Mohd Musa tidak menolak kemungkinan ada individu tertentu yang menghalang atlet tempatan daripada berlatih di bawah HPTC Asia.

"KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) memberi sokongan dan kita juga mendapat reaksi positif daripada kebanyakan atlet yang kita temui, yang mahu membina nama sendiri. Jadi persoalannya siapa yang menghalang," katanya.

Beliau berkata HPTC Asia mengambil atlet berusia 23 tahun ke bawah dari negara-negara Asia dan mereka akan menjalani latihan selama empat tahun.

"Setiap atlet dinilai dari tahun ke tahun, sama ada ada peningkatan atau tiada mengikut penilaian prestasi IAAF (Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain