suria

300 Pasukan Sertai Karnival Bola Keranjang 3 ON 3

KUANTAN: Sebanyak 300 pasukan bakal berentap bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam Karnival Bola Keranjang 3 On 3 yang julung kali diadakan bermula 1 Oktober ini.

Pengerusi Kejohanan, Mustafa Ibrahim berkata kejohanan selama empat hari itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta terbuka kepada semua pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan pelajar sekolah menengah dalam kategori lelaki dan wanita.

"Kita jangkakan sebanyak 200 pasukan daripada institusi pengajian tinggi, manakala 100 penyertaan pasukan sekolah menengah bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM10,000, hamper dan piala iringan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Setakat ini, empat IPTA iaitu Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan UMP telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu.

Permainan akan mengikut undang-undang Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dengan sistem perlawanan dijalankan secara liga dalam kumpulan, katanya.

Mustafa berkata penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 09-5493222/3218 atau melayari laman sesawang http://3on3.ump.edu.my sebelum tarikh tutup pada 30 Ogos ini.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain