suria

Khairulnizam Perbaiki Kedudukan Dalam 10 Pelayar Terbaik Di Scotland

LANGKAWI: Pelayar elit negara, Khairulnizam Mohd Afendy berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-15 pada saingan hari kedua kepada 10 kelompok pelayar terbaik selepas menamatkan tiga lagi perlumbaan pada Kejohanan Laser Radial Dunia Remaja Dunia 2010 di Largs, Scotland, semalam.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata dengan pencapaian itu Khairulnizam mempunyai peluang cerah untuk layak bersama 70 pelayar ke peringkat seterusnya selepas menamatkan baki dua perlumbaan.

Pelayar-pelayar itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut pencapaian masing-masing iaitu Gold Fleet, Silver dan Bronze, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Afendy berkata mereka perlu menamatkan empat perlumbaan lagi untuk menentukan kejuaraan.

Khairulnizam 18, merupakan wakil tunggal negara menyertai kejohanan itu sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Guangzhou 2010 di China, November ini.

Kejohanan itu, yang bermula Rabu hingga Isnin ini, disertai oleh 218 pelayar dari 53 negara.

Sebelum ini, Khairulnizam menduduki tangga kelapan keseluruhan dalam kelas Laser Radial pada kejohanan Volvo Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2010 di Istanbul, Turki, baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Lain