suria

Pemanah Malaysia Dominasi Acara ARW2 Di England

KUALA LUMPUR: Pemanah paralimpik negara melakar sejarah tersendiri selepas meraih kesemua tiga pingat dalam kategori ARW2 di Kejohanan Memanah Berkerusi Roda ke-6 / Kejohanan Memanah Berkerusi Roda Kebangsaan Britain dan Jemputan Antarabangsa yang berakhir pada Khamis.

Pengurus Sukan Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohamad Nadzri Zakaria memberitahu Bernama bahawa pemanah negara berjaya memecahkan dominasi pasukan Eropah buat pertama kalinya.

"Ini merupakan penyertaan pertama kali buat pasukan Malaysia di kejohanan ini," katanya, di sini, Jumaat.

Pada kejohanan yang merupakan pertandingan kejohanan ranking dunia yang berlangsung di Stoke Mandeville, England itu, Malaysia meraih pingat emas melalui Zulkifli Mat Zin yang menewaskan rakan senegara, Mohd Salam Sidik dengan 6-2 pada perlawanan akhir.

Pingat gangsa pula diperolehi Mohd Zafi Rahman Mat Saleh selepas menewaskan Mario Oehme dari Jerman.

"Atlet yang melepasi Minimum Qualification Standard (MQS) yang ditetapkan oleh FITA Para Archery dan Majlis Paralimpik Antarbangsa berpeluang mengumpul mata ranking dunia individu bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik London 2012," katanya.

Beliau berkata kejayaan cemerlang Zulkifli, Mohd Salam dan Mohd Zafi Rahman memberi gambaran awal kemampuan pemanah negara untuk bersaing di Sukan Paralimpik London 2012 bagi acara berpasukan.

"Trio yang sama juga telah mencatatkan kejayaan cemerlang dengan memenangi pingat perak berpasukan selepas tewas kapada trio Itali pada Kejohanan Para-Archery World Ranking Tournament 2010 di Nove Mesto Nad Metuji, Republik Czech pada Mei lepas," kata Mohamad Nazri.

Katanya, sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan Paralimpik London, trio memanah berkerusi roda itu mengikuti Program Gemilang Paralimpik 2012 anjuran Cawangan Paralimpik MSN di bawah pengawasan jurulatih Amirullah Ahmad.

"Trio ini juga diharap dapat mengekalkan prestasi mereka semasa bersaing di Sukan Para Asia di Guangzhou pada Disember depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain