suria

Malaysia Akan Muncul Pasukan Terbaik Bagi Acara Angkat Berat

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka muncul sebagai pasukan terbaik bagi acara angkat berat paralimpik melalui pelbagai program yang disusun dalam tempoh lima tahun, kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Zainal Abu Zarin.

Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan prestasi atlet angkat berat paralimpik tempatan dan program pembangunan sukan itu yang giat dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Atlet-atlet yang ada sekarang seperti P.Mariappan, Siow Lee Chan, Cheok Kon Fatt dan Sharifah Raudzah bukan sahaja merupakan ikon, malah mereka akan menjadi jurulatih yang akan membantu warga OKU (Orang Kurang Upaya) yang berminat dalam sukan ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen angkat berat paralimpik negara di sini, Khamis.

Pada majlis itu, Zainal menyerahkan Jalur Gemilang kepada tiga pegawai dan 10 atlet yang akan menyertai Kejohanan Powerlifting Dunia Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada 25 hingga 30 Julai ini di Dewan Tasik Titiwangsa, di sini.

Seramai 490 atlet dan pegawai dari 50 negara akan bertanding di kejohanan tersebut termasuk pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Paralimpik 1992 di Barcelona, Cheok Kon Fatt dan Mariappan.

Zainal berkata selain pingat, atlet yang bertanding pada kejohanan itu turut merebut kelayakan ke Sukan Paralimpik di London 2012.

"Apa yang kita harapkan (menerusi kejohanan itu) ialah atlet kita dapat melakukan lebih baik daripada prestasi mereka sekarang, di samping cuba memenangi pingat," katanya.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan MSN Abdul Jalil Abdullah pula berkata pihaknya bersama-sama MSN negeri kini dalam usaha untuk menubuhkan persatuan angkat berat paralimpik di peringkat negeri.

"Melalui persatuan itu, kita akan dapat mengenal pasti lebih ramai warga OKU yang berminat untuk melibatkan diri dalam sukan ini.

"Kita juga akan mengadakan lebih banyak pertandingan yang diiktiraf badan antarabangsa untuk mencari jaguh-jaguh baru," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain