suria

Sarawak, Wilayah Persekutuan Ungguli Tenpin Boling

MELAKA: Sarawak dan Wilayah Persekutuan masing-masing memenangi satu emas bagi tenpin boling kategori lima berpasukan pada Sukan Malaysia ke-13 di Melaka International Bowling Center, di sini malam tadi.

Sarawak memenangi kategori lelaki dengan 6,336 jatuhan pin mengatasi Pahang yang melakukan jatuhan pin 6,195 untuk mendapat pingat perak, sementara Kedah mengutip gangsa dengan 6,134 jatuhan pin.

Pasukan Bumi Kenyalang itu dibarisi Aris Fadilah Santosoh, Bong Kihow, Chong Jun Foo, Daniel Tan Yan Han dan Jonathan Ding.

Sementara itu Wilayah Persekutuan mengungguli kategori wanita dengan 5,904 jatuhan pin mengatasi Sarawak yang melakukan 5,834 jatuhan pin untuk pingat perak, sementara gangsa dimenangi Pahang dengan 5,777 jatuhan pin.

Wilayah Persekutuan diwakili Cheong Pui Yee, Hee Kar Yen, Nur Diana Hussin, Nur Amirah Abdul Raduan dan Radin Nur Najwa. Acara tenpin boling menawarkan 13 pingat emas dan sehingga kini Sarawak telah memenangi lima daripadanya sementara Wilayah Persekutuan mengutip dua, dan Selangor serta Negeri Sembilan masing-masing satu. -BERNAMA

Artikel Lain