suria

Sukma Ke-13 Berjaya Lahir Atlet Cemerlang: Ahmad Shabery

ALOR GAJAH: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 Melaka menunjukkan pencapaian yang baik apabila banyak rekod baru Sukma dan kebangsaan berjaya dicipta oleh para atlet.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, 31 rekod baru Sukma berjaya dicipta termasuk tiga rekod baru kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat perkampungan atlet Sukma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dekat sini malam tadi, beliau berkata Sukma kali ini juga berjaya melahirkan atlet yang cemerlang setanding dengan atlet elit negara.

"Banyak acara yang dulunya kita susah nak mencari wakil negara seperti menembak, memanah dan sebagainya tetapi sekarang ini kita melihat pelapis yang begitu ramai," katanya.

Ahmad Shabery berkata lebih ramai lagi atlet pelapis cemerlang itu akan dapat dilahirkan apabila Sukma diadakan setiap tahun mulai tahun depan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua negeri yang bertanding kerana ia melambangkan setiap negeri mempunyai program pembangunan yang tersendiri hingga dapat melahirkan ramai atlet dari negeri masing-masing," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan persiapan termasuk makanan dan penginapan yang disediakan untuk atlet.

Sukma Ke-13 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Jun ini, menawarkan 434 pingat emas, disertai 6,500 atlet daripada 15 kontinjen termasuk Brunei. - BERNAMA

Artikel Lain