suria

Capello Dedah Skuad Utama Saat Akhir

PENGURUS England, Fabio Capello menegaskan dia hanya akan mengumumkan kesebelasan utama pasukan yang akan diturunkan menentang Amerika Syarikat pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C, dua jam sebelum perlawanan bermula.

Tindakan itu menyebabkan skuad utama England masih menjadi teka-teki di kalangan kumpulan wartawan dan penganalisis sukan.

Mereka turut meramal barisan pemain dan formasi yang akan diterapkan Capello di Rustenburg.

"Saya tidak akan mendedahkan senarai pemain yang akan beraksi dua jam sebelum sepak mula seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya berbuat demikian kerana jika anda mengumumkan barisan pemain sekarang dan kemudiannya seseorang daripada mereka cedera, sudah pasti sukar untuk memanggil pemain lain," katanya.

Menurutnya, dia menuntut semangat sama seperti dipamerkan England pada pusingan kelayakan Piala Dunia.

"Pemain-pemain ini bagus dari segi fizikal dan mereka amat fokus pada perlawanan awal pagi esok. Saya percaya dengan keupayaan pasukan kerana pemain-pemain terdiri daripada pemain terbaik Liga Perdana Inggeris," jelasnya.

Sementara itu, Capello mengesahkan pemain tengah Manchester City, Gareth Barry akan diletakkan dalam bangku simpanan pada perlawanan esok.

Barry belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang berlarutan sejak penghujung musim lalu.

"England sudah bersedia. Perlawanan pertama biasanya sukar kerana harapan peminat terlalu tinggi. Namun kami sudah berada di sini selama lapan hari. Latihan berjalan dengan lancar dan saya amat yakin," tambahnya.

England akan bertemu Algeria di Cape Town pada 18 Jun ini dan Slovenia di Port Elizabeth, lima hari kemudian.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain