suria

Penampilan Sulung Aisan Racing Team Pada LTdL 2010

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi pelbagai kejohanan di rantau Asia, pasukan ternama Jepun, Aisan Racing Team, akhirnya akan membuat penampilan sulung pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, bulan depan.

Pasukan yang sudah mencipta nama di benua Asia ini meletakan sandaran kepada enam pelumba terbaik pasukan itu untuk merangkul gelaran pada perlumbaan edisi ke-15 mulai 1 hingga 7 Mac ini.

Aisan Racing Team, yang diuruskan oleh Mitsuteru Tanaka, akan diterajui oleh pelumba pecut berpengalaman Masahiro Shinagawa yang pernah mewakili pasukan Pro Skil-Shimano dan bekas juara pecut bawah 23 tahun Jepun.

Shinagawa pernah beraksi dalam perlumbaan terbesar di Asia seperti Jelajah Okinawa, Tour de Korea, Jayco Herald Sun Tour dan Jelajah Malaysia serta perlumbaan Paris-Roubaix di Perancis.

Mengikut kenyataan penganjur hari ini, Shinagawa akan dibantu oleh Taiji Nishitani, pelumba pecut handalan Asia yang menjuarai Jelajah Malaysia tahun lepas.

Pelumba lain dalam pasukan itu adalah Takumi Beppu, Takeaki Ayabe, Kazuhiro Mori dan Kenichi Suzuki.

Sebanyak 120 pelumba daripada 20 pasukan termasuk dua pasukan tempatan dijangka akan mengambil bahagian dalam perlumbaan bersataus 2.0 Hors itu.

LTdL kali ini akan melibatkan tujuh peringkat iaitu Kota Baharu-Kuala Berang (174.5km), Kuala Terengganu-Chukai (182.9km), Pekan-Mersing (144km), Mersing-Parit Sulong (163.5km), Muar-Port Dickson (140.2km), Putrajaya-Genting Highland (103.9km) dan peringkat akhir dari Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka sejauh 92.8km. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain