suria

MYA Susun 10 Kejohanan Perahu Layar Sirkit Kebangsaan Tahun Depan

LANGKAWI: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) sudah menyusun 10 kejohanan perahu layar pada tahun 2010 yang merupakan sirkit kebangsaan.

Timbalan Presidennya Lukman Abu Bakar berkata Regata Perdana Langkawi yang akan dianjur Persatuan Perahu Layar Kedah (PPLK) di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi di sini mulai 27 hingga 31 Januari ini akan menjadi pembuka tirai kalender tahun 2010.

Katanya kejohanan itu diadakan di beberapa negeri menjelang berlangsung Kejohanan Optimist Dunia Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) 2010 yang akan berlangsung dari 27 Disember 2010 hingga 7 Januari 2011.

Beliau berkata kejohanan dunia itu dijangka disertai 300 pelayar dari 60 negara dari seluruh dunia.

Menurutnya MYA baru sahaja tamat menganjurkan Kejohanan Optimist Asia Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) 2009 di sini minggu lepas, yang disertai 121 pelayar dari 25 negara.

Mengenai program pembangunan sukan perahu layar Lukman berkata, MYA akan meneruskan program itu secara bersepadu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan prestasi atlet terus ditingkatkan.

Beliau berkata KFC Holding (Malaysia) Bhd merupakan penaja utama program MYA dengan penajaan RM1.5 juta setahun pada tahun 2008 hingga 2010, dan menurutnya tanpa tajaan itu sukar untuk mengadakan program serta membantu negeri-negeri menganjurkan kejohanan sepanjang tahun.

Sementara itu Pengurus besar MYA Mohd Afendy Abdullah berkata lapan pelayar sedang membawa cabaran negara pada Kejohanan pelayaran kebangsaan Australia mulai hari ini hingga 3 Januari ini di Adelaide, Australia.

Katanya mereka terdiri daripada Harrithammry Nassution, Ku Anas Ku Zamil, Kharulnizam Mohd Afendy, Mohamad Hafizudin Mazelan, Khairunisa Mohd Afendy, Norashikin Mohamad Sayed, Mohd Romzi Muhamad dan Nik Ashraf Nik Azizan yang menyertai kategori Laser Radial, Standard dan 420.

Beliau berkata Nik Ashraf yang sedang berlatih di Perth Australia bergabung dengan skuad pelayaran Malaysia menyertai kejohanan itu.

Mohd Afendy berkata Malaysia akan menghantar seorang pelayar, Khairulnizam Mohd Afendy menyertai Kejohanan pelayaran remaja Australia mulai 5 hingga 11 Januari di Adelaide Australia.

Katanya kejohanan itu sebagai persiapan buat pelayar yang akan menyertai Kejohanan pelayaran Asia di China pada Mac depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain