suria

Lee Wei Dan Shakirin Dijangka Muncul Juara Kejohanan Ping Pong Kebangsaan

JOHOR BAHARU: Juara 10 kali pemain ping pong perseorangan wanita kebangsaan, Beh Lee Wei dijangka menjuarai kejohanan kebangsaan edisi ke-46 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu yang bermula esok.

Lee Wei, 26, dijangka mudah merangkul kejuaraan kali ke-11 bagi dirinya lebih-lebih lagi dengan ketiadaan juara bertahan Ng Sock Khim.

Sock Khim yang memenangi kejuaraan pada 2007 dan 2008 masih lagi belum sihat setelah menjalani pembedahan yang turut menyaksikannya tidak dapat beraksi pada kejohanan Sukan Sea Laos yang baru berakhir.

Setiausaha kehormat Persatuan Ping Pong Malaysia, Chan Fong Keong mengesahkan pemain dari Kedah itu tidak boleh beraksi sehingga Tahun Baru Cina pada Februari.

"Agak malang, tetapi saya percaya kejuaraan wanita akan menjadi lebih terbuka dengan ketiadaan Sock Khim," kata Chan.

Lee Wei yang memenangi kejuaraan kebangsaan pertamanya pada 1997 ketika berusia 14 tahun, diletak sebagai pemain pilihan kedua di belakang naib juara tahun lalu Chiu Soo Jin dari Sabah, tetapi dengan kedudukan Lee Wei sekarang yang turut memungut tiga pingat gangsa semasa di Laos dan pengalaman luasnya, beliau akan menjadi pencabar kepada peserta lain.

Beliau juga akan mewakili Kuala Lumpur dalam acara berpasukan bagi meraih kejuaraan kali kedua berturut-turut bersama kakaknya Lee Fong.

Bagi Muhammad Shakirin Ibrahim pula yang menjadi pemain pertama bukan Cina yang menjuarai kejohanan pada 2006 di Batu Pahat dan sekali lagi di Terengganu tahun lalu, peluangnya untuk muncul juara kali ini masih cerah.

Pemain dari Sabah, Kho Mao Sheng selaku juara 2007 dan naib juara tahun lalu boleh menggugat kedudukan Muhammad Shakirin dari Kuala Lumpur, namun Muhamad Shakirin dilihat masih mampu mengatasi pesaingnya termasuk juara empat kali Chan Koon Wah yang kini mewakili Putrajaya.

Seramai 250 pemain dari tujuh pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan empat hari itu yang dibahagi kepada dua kategori iaitu terbuka dan solidariti (bukan pemain Cina). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain