suria

Memanah: Mohd Marbawi belum putus asa untuk wakili negara

KUALA LUMPUR: Walaupun dipinggirkan daripada skuad kebangsaan sejak Jun lepas, pemanah kebangsaan yang beraksi di Beijing pada 2008, Mohd Marbawi Sulaiman masih belum berputus asa untuk kembali mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Pemanah kelahiran Perak itu kini mengalami kemerosotan prestasi menyebabkan dia terlepas beberapa kejohanan besar seperti siri Piala Dunia di Turki (Jun), Grand Prix Asia di Kuala Lumpur (Julai) dan Kejohanan Dunia di Korea Selatan yang berlangsung pada awal bulan ini.

Kali terakhir beliau mewakili skuad kebangsaan adalah pada siri kedua Piala Dunia di Porac, Croatia pada Mei lepas apabila menduduki tempat ke69, lima tempat daripada kelompok 64 terbaik untuk ke pusingan pertama kalah mati.

"Saya kini berusaha memberi fokus sepenuhnya kepada latihan terutamanya dari segi membaiki ketepatan panahan sekaligus mengembalikan prestasi asal serta kembali mewakili skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Marbawi menjangka dia memerlukan masa antara berbulanbulan sehingga setahun sebelum dapat kembali kepada prestasi asal.

"Tambahan pula sekarang, beberapa pemanah pelapis telah mempamerkan peningkatan untuk bersaing merebut tempat di dalam skuad kebangsaan," katanya.

Berbanding dengan beberapa pemanah kebangsaan lain yang terikat dengan pengajian, Mohd Marbawai kini merupakan pemanah sepenuh masa dengan berlatih sekurang-kurangnya enam jam sehari.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk bersara daripada skuad kebangsaan, Mohd Marbawi yang kini berusia 26 tahun berkata ia bergantung kepada prestasinya di dalam masa terdekat.

"Jika gagal terpilih untuk Sukan Asia (Guangzhou, China) dan Sukan Komanwel (India) pada tahun depan, saya mungkin akan mengambil keputusan bersara," katanya yang mewakili negara sejak 2002.

Bermula 2003, Mohd Marbawi mula mempamerkan kecemerlangan apabila memenangi pingat emas untuk negara di Sukan SEA di Vietnam apabila menjuarai acara 'recurve' individu dan berpasukan.

Ia diikuti dengan kejayaannya bersamasama Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz meraih emas 'recurve' berpasukan di Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007.

Selain itu, ketigatiga pemanah berkenaan turut cemerlang pada siri Piala Dunia tahun lepas apabila memenangi perak di dalam acara berpasukan di Turki dan Perancis.

Malah Mohd Marbawi, Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizan merupakan trio pemanah pertama negara layak ke Sukan Olimpik (Beijing) secara merit sehingga mara ke peringkat suku akhir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain