suria

Kementerian Belia dan Sukan akan diperkasakan - Muhyiddin

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan akan diperkasakan daripada segi sumber manusia dan kewangan dalam usaha kerajaan memastikan keberkesanan pelaksanaan aktiviti kepada golongan belia di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu penting kerana jumlah belia di negara ini adalah besar dan mereka terlibat dengan pelbagai bidang.

"Kalau kita hendak melihat keberkesanan belia, pastinya kita perlu supaya agensi, badanbadan yang ada dalam kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan ini dapat kita perkukuhkan lagi...boleh menggerakkan program belia dengan lebih berkesan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Perhimpunan itu dihadiri kirakira 15,000 orang belia. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada dasarnya bersetuju dengan langkah memperkasakan kementerian itu serta badan berkaitan dan perbincangan bagi mencari pendekatan terbaik bagi merealisasikannya akan diadakan.

Mengenai konsep '1Belia 1Malaysia', Muhyiddin berkata ia adalah satu gagasan yang diutarakan oleh pimpinan Kementerian Belia dan Sukan serta pimpinan belia untuk bersamasama dengan pimpinan negara di bawah konsep 1Malaysia.

"Ia menekankan betapa pentingnya hubungan antara belia dan pimpinan negara dan juga kerajaan di samping 1Belia 1Malaysia menekankan kerjasama, perpaduan yang kita tahu penting," katanya.

Beliau percaya pendekatan yang akan digunakan itu akan dapat memartabatkan golongan belia yang bermakna belia berperanan lebih penting dalam dekad akan datang.

"Tentunya kita mengharapkan dengan konsep 1Belia 1Malaysia bermakna gandingan mantap pastinya akan membawa kita ke era masa depan yang lebih cemerlang lagi," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada perhimpunan itu, Muhyiddin berkata kerajaan berharap belia dapat menterjemahkan tanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan dengan tidak hanya menyerahkan kepada kerajaan atau pihak tertentu sahaja.

Katanya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu, mereka mestilah sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan masyarakat dan negara serta mampu berfikir dan bertindak secara rasional dan dikawali oleh nilai-nilai murni keagamaan.

"Kita juga perlu sedar bahawa apa jua tindakan kita dan walau sekecil mana sekalipun tindakan tersebut, ia tetap akan memberi kesan kepada masyarakat sama ada baik atau sebaliknya.

"Oleh itu, janganlah kita bertindak dengan sewenangwenangnya tanpa berfikir panjang, sebaliknya kita perlu lebih berhatihati dan berwaspada dalam sebarang tindakan yang hendak kita lakukan, terutamanya yang menyentuh sensitiviti masyarakat di sekeliling kita," katanya.

Beliau juga mencadangkan satu perkongsian pintar diwujudkan antara belia dan pelbagai komuniti masyarakat, swasta, media dan pertubuhan bukan kerajaan, kementerian dan agensi kerajaan lain, bagi mengukuhkan gerakan belia.

"Dalam konteks ini pihak swasta boleh memainkan peranan aktif dengan menaja program yang dianjurkan oleh pertubuhan belia dan komuniti masyarakat pula mungkin boleh menganjurkan program untuk pembangunan belia setempat tanpa hanya menanti program rasmi anjuran kerajaan," katanya.

Pada perhimpunan itu, Pengarah Bahagian Sahabat Belia di Jabatan Ketua Menteri Melaka, Mohd Nizam Omar dipilih menerima Anugerah Belia Negara 2009 bagi kategori Kepimpinan.

Lima lagi penerima Anugerah Belia Negara 2009 ialah Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh Abdul Rahman dari Pandan Jaya, Kuala Lumpur (kategori Keusahawanan), Aliza Aksah dari Kampung Pachakan, Dalam Rhu Semerak, Kelantan (Wira Tani), Hishamuddin Abd Rahman dari Kuarters Pendidikan, Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang (Kesukarelaan), Mohd Faudzee Hamid dari Taman Halaman Cendana, Bukit Gedong, Bayan Lepas, Pulau Pinang (Kemahiran dan Inovasi), dan Datuk Ahmad Japar dari Taman Golf, Alor Setar, Kedah (Tokoh Jasa Belia). Penerima masingmasing menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan piala.

Gerakan Belia 4B cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Wawasan, Sungai Udang, Melaka dinobatkan sebagai johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain