suria

Harimau Muda gagal sekat kemaraan Johor sebagai pendahulu Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Harimau Muda gagal mengejar Johor untuk merebut tangga teratas liga apabila hanya mencatatkan keputusan seri 11 berdepan Selangor PKNS pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Harimau Muda bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan melalui Ahmad Shakir Md Ali yang mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 setelah dijatuhkan pemain PKNS Fairus Montana dalam kotak penalti.

Harapan Harimau Muda untuk mengekalkan kelebihan satu gol tidak kesampaian apabila pemain PKNS Christy Jayaseelan menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila penjaga gol K. Sasikumar gagal menyelamatkan bola muntah.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Johor masih mendahului tahta liga apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sabah.

Bagaimanapun, Sabah membuka tirai jaringan melalui Zainizam Marjan yang mudah menyepak masuk hantaran lintang dari Billyton Vun Ket Ming pada minit ke-55.

Jaringan Sabah itu tidak bertahan lama apabila empat minit kemudian Johor terus membalas melalui Norizam Sulaiman yang menumpaskan penjaga gol Sabah Irwan Jamil.

Norizam sekali lagi menjadi wira pasukan Johor apabila menyumbat gol kemenangan berpunca dari hantaran lintang Jasazrin Jamaluddin sebelah kiri padang pada minit ke-69.

Di Stadium Batu Kawan, perlawanan antara SDM Kepala Batas dan TTeam berlangsung pada pukul 10 malam disebabkan salah faham yang berlaku antara pengurusan SDM Kepala Batas dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) yang gagal menyediakan kemudahan keselamatan dan kawalan di stadium tersebut.

Dalam perlawanan tesebut TTeam melepaskan geram apabila membelasah SDM Kepala Batas 4-1 melalui jaringan Md Kamal Rodiarjat pada minit ke-17 dan 52 serta jaringan Mohd Haris Safwan pada minit ke-65 dan 78.

Gol saguhati tuan rumah hadir pada minit ke30 melalui Zainal Zakaria. BERNAMA

Artikel Sebelum

UiTM sertai liga FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain