suria

UiTM sertai liga FAM

SHAH ALAM: Pasukan Bola Sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama yang membariskan kesemua pemain yang terdiri daripada kalangan pelajar universiti itu dalam pertandingan liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkata pasukan universiti itu dipilih setelah melepasi beberpa kriteria dan syarat utama termasuk mempunyai kedudukkan kewangan yang kukuh dan kemudahan sukan yang bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata UiTM akan mulai beraksi pada sesi perlawanan musim 2009 dan telah giat melakukan persiapan sejak awal tahun ini dengan membariskan pemain yang berpengalaman pada kejohanan seperti Piala Presiden, Liga Universiti dan Pertandingan Liga Universiti Dunia.

"Kita optimis pasukan UiTM mampu bersaing dengan pasukan yang bertanding malah akan cuba menonjol sebagai pasukan yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental dan intelektual," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ibrahim turut memperkenalkan jurulatih pasukan iaitu Omar Ali yang berpengalaman sebagai Jurulatih Akademik Selangor, Piala Selangor dan Belia Kebangsaan serta Khairal Afiq Jamal selaku kapten pasukan yang bermain pada posisi tengah.

Ibrahim berkata ke semua pemain pasukan UiTM terdiri daripada penuntut baru universiti itu yang mempunyai potensi amat tinggi untuk menyerlah sebagai pemain profesional.

"Kita akan memantau prestasi mereka baik dari segi permainan mahupun akademik bagi memastikan kedua-duanya berjalan seiring selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan pemain bola sepak yang berkonsepkan 'thinking atheletes' iaitu memiliki minda yang cerdas," katanya.

Omar yang ditemui selepas sidang media berkata seramai 24 pemain telah disenarai pendek dan pemilihan untuk kesebelasan utama akan dibuat dalam masa terdekat ini bagi memastikan mereka yang terbaik dipilih menggalas cabaran UiTM.

Terdahulu Ibrahim menerima sumbangan daripada penaja bernilai RM110,000 daripada Syarikat Cakna Enterprise Sdn Bhd selaku penaja utama (RM40,000), Intaxius Holding Sdn Bhd (RM20,000), Canterbury (M) Sdn Bhd (RM20,000), Exacmust Sdn Bhd (RM20,000) dan MAA Takaful (RM10,000). BERNAMA

Artikel Lain