suria

“Saya tak koyak, cuma mahu keadilan” - Penerbit ‘Gadis Jolobu The Movie’ sudah hantar surat tuntutan kepada YouTuber

Saraleana menafikan dia tidak boleh menerima kritikan sebaliknya hanya menuntut keadilan.

SUSULAN komen seorang YouTuber didakwa berbentuk fitnah, penerbit Gadis Jolobu The Movie iaitu Saraleana Nattaya Azmi memaklumkan peguamnya sudah menyerahkan surat tuntutan Letter of Demand (LOD) kepada individu berkenaan.

Saraleana yang juga pengasas bersama Zebra Studio berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber berkenaan.

“Kami memandang serius tuduhan dilemparkan oleh YouTuber terbabit yang jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu yang dikaitkan dengan unsur lucah dan memburukkan budaya Minangkabau.

“Tuduhan berkenaan nyata menghentam dan bukan mengkritik daripada sudut konstruktif. Jika memberi ulasan secara membina dan ilmiah, kami boleh terima, tiada masalah.

“Setakat ini, peguam sudah memaklumkan sudah menerima surat balasan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada peguam masing-masing.

1681047

Filem Gadis Jolobu The Movie boleh ditonton di China secara OTT.

“Itu sahaja yang boleh dikongsikan. Kes berada di peringkat awal proses mahkamah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Jolobu The Movie perlihat sisi komedi Hattan, tapi kekal lantang di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Tembusi pasaran antarabangsa, ‘Gadis Jolobu The Movie’ kini boleh ditonton di China

Pada 11 Ogos lalu, seorang YouTuber memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial dan menyifatkan filem Gadis Jolobu arahan CL Hor sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan bintang baharu, Ahirine Ahirudin menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos lalu.

Saraleana berkata, dia menafikan tidak boleh menerima kritikan atau ‘koyak’, sebaliknya hanya menuntut keadilan.

“Saya cuma mahukan keadilan. Saya bukan penerbit tiada etika dalam berkarya. Jika filem Gadis Jolobu berunsur lucah dan merosakkan adat Minangkabau, sudah tentu tidak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang mendapat PG13.

“Saya sedia maklum ada beberapa penerbit mengadu mengenai YouTuber berkenaan, tetapi tidak memanjangkan isu ke peringkat undang-undang.

Untitled design (23)

Datuk Hattan dan Ahirine Ahirudin antara pelakon utama filem Gadis Jolobu The Movie.

“Saya tidak ‘koyak’, tetapi apa yang dilakukan lebih kepada memikirkan keadilan dan nasib penerbit baru lain sekiranya perkara sama berlaku kepada mereka.

“Sekiranya apa yang saya lakukan ini boleh membantu industri, saya terus cuba berjuang,” katanya.

Tambah Saraleana, tindakan diambil bukan disebabkan kutipan filem terjejas, sebaliknya karya terbabit menyasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Bercakap soal kutipan, kami memang tak fokus kutipan di Malaysia sahaja. Ini kerana, filem Gadis Jolobu lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Lagipun penonton tempatan belum sepenuhnya ke panggung. Malah, filem Gadis Jolobu juga tidak boleh disamakan dengan kutipan filem Mat Kilau yang lebih sensasi kerana filem kami mengangkat dialek Negeri Sembilan dan adat pepatih,” katanya.

Dalam pada itu, pengarahnya, CL Hor berkata, filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton di platform Over-The-Top (OTT), Get Play bermula 26 Ogos ini.

Kami memandang serius tuduhan dilemparkan oleh YouTuber terbabit yang jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu yang dikaitkan dengan unsur lucah dan memburukkan budaya Minangkabau

SARALEANA NATTAYA AZMI

PENERBIT FILEM GADIS JOLOBU THE MOVIE

“Get Play adalah konsep terbaru yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.

“Secara ringkasnya, Get Play turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan karya tempatan ke seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain