suria

Bukan biasa-biasa! Filem ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ tunjuk sisi sebenar tokoh pejuang... Angkat aras pemikiran penonton

Barisan pelakon utama Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

BUKAN sekadar hiburan untuk tontonan di pawagam semata-mata, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga merupakan sebuah karya yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Menurut Penerbit Studio Kembara iaitu Abdul Rahman Mt Dali, filem ini menonjolkan sisi sebenar perjuangan tokoh pahlawan, Mat Kilau selain sarat dengan mesej penting bagi meniupkan semangat mempertahankan negara tercinta.

"Filem ini bukan sekadar hiburan di pawagam. Ia dapat memberi manfaat dengan harapan dapat mengangkat aras pemikiran penonton.

mat kilau 11

Rahman (tengah) ketika sidang media filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

"Apa yang penting adalah sifat-sifat Mat Kilau itu sendiri yang ingin dia sampaikan seperti berpegang kuat pada agama dan semangat perjuangan menentang penjajah suatu ketika dahulu.

"Perjuangan Mat Kilau juga telah membangkitkan psikologi masyarakat Melayu dahulu bahawa kita boleh menewaskan tentera penjajah British yang kuat. Dia telah menyuntik semangat keyakinan dalam jiwa bangsa bahawa kita boleh lakukan," katanya.

Rahman berkata demikian ketika sidang media selepas majlis tayangan perdana yang berlangsung di GSC Starling Mall, Petaling Jaya pada Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali tolak tawaran, akhirnya Adi Putra setuju bawa watak Mat Kilau

Sementara itu apabila ditanya tentang pemilihan tokoh Mat Kilau untuk diangkat sebagai sebuah karya filem, Rahman berkata ia berdasarkan sejarah dan perjuangan pahlawan itu diakui oleh British melalui beberapa dokumen.

Rahman bagaimanapun berkata tidak semua paparan dalam filem itu adalah kisah benar kerana sukar untuk produksi menggambarkan secara keseluruhan perjalanan hidup Mat Kilau dalam durasi masa dua jam.

Dia telah menyuntik semangat keyakinan dalam jiwa bangsa bahawa kita boleh lakukan

ABDUL RAHMAN MT DALI

PENERBIT

"Sejarah perjuangan Mat Kilau tidak boleh dipertikaikan. Ada beberapa dokumen British yang mengesahkan penentangan beliau ketika dahulu.

"Dalam berkarya menghasilkan filem tidak semua kisah benar diceritakan. Bukan mudah hendak bawa keseluruhan hidup beliau dalam durasi sebuah filem," ujarnya.

Filem arahan Syamsul Yusof ini membariskan pelakon-pelakon seperti Datuk Adi Putra yang membawa watak Mat Kilau, Fattah Amin (Awang), Beto Kusyairi (Wahid), Ali Karimi (Brahim), Johan Asari (Yassin) dan pelakon Indonesia Yayan Rujian (Toga).

mat kilau 22

Syamsul bertindak sebagai pengarah filem ini.

Ia juga dibintangi oleh pelakon veteran hebat seperti Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Shaharuddin Thamby, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid dan A Galak.

Filem berlatar belakang sekitar tahun 1892 ini membawa kisah perjuangan Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah menentang kekejaman penjajahan British yang berlaku di Pahang ketika itu.

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Jun ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain