PENYANYI Syasya Rizal tidak pernah menyesal dengan keputusannya sebelum ini memadam foto-foto lamanya di media sosial walaupun mempunyai kenangan tersendiri.
Kata Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, foto dahulu tidak mencerminkan dirinya yang sekarang lebih-lebih lagi selepas membuat keputusan untuk berhijab.
Malah dia juga berazam akan menjadi insan lebih baik di masa akan datang.
Syasya tak menyesal padam foto lama.
"Padam gambar lama? Sayang tu sayang sebab kesemuanya ada kenangan tersendiri. Tapi foto lama itu tak mencerminkan diri saya yang sekarang.
"Penghijrahan saya menutup aurat ini adalah untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik," katanya.
Syasya berkongsi perkara itu sebagai respons menjawab soalan daripada pengikut di Instagram miliknya.
Bercerita lanjut, bekas anggota kumpulan Dolla ini akui bukan mudah untuk kekal istiqamah.
ARTIKEL BERKAITAN: Ujian sejak bertudung, Syasya Rizal pernah terdetik mahu kembali imej lama
ARTIKEL BERKAITAN: Sampai sudah ada anak… Syasya Rizal perjelas salah faham isu sambung belajar di luar negara
Namun dia mendapat sokongan keluarga terutama suami, yang menjadi sumber kekuatan ketika berdepan pelbagai dugaan.
"Apabila saya memutuskan untuk memakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya ia tidak mudah, malah sehingga sekarang masih ada cabarannya.
"Ya, saya masih takut dan masih belajar cuba menutup aurat sebaik mungkin.
"Tapi kekuatan saya untuk terus kekal istiqamah ini ialah adanya suami, anak dan orang sekeliling yang selalu berikan sokongan," jelasnya.
Suami dan anak penguat Syasya kekal kuat.
Dalam masa sama Syasya juga memberi gambaran akan tampil dengan lagu baharu dalam masa terdekat.
Selain menyanyi dia kini juga banyak menerima tawaran sebagai duta jenama tudung Finura.
Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata Muhammad Yassir Hayyan yang kini berusia enam bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube