suria

Masdo siap sedia ‘panaskan badan’, janji kejutan buat peminat

Masdo teruja bertemu peminat di Festival Muzik OOO 2025.

SATU dekad mencipta nama dalam industri muzik, kumpulan Masdo bakal menghiburkan peminat dalam sebuah konsert yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos. 

Namun sebelum tibanya hari bermakna itu, mereka terlebih dahulu akan bersama beberapa rakan artis lain memeriahkan Festival Muzik OOO 2025 di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai. 

Bagi Ali selaku vokalis, pentas berkenaan jug dianggap sebagai pemanas badan sekali gus menghangatkan lagi perjalanan kerjaya seni mereka. 

Masdo bersedia hiburkan peminat.

“Kami anggap ini merupakan acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami di dalam industri. 

"Ada sesuatu yang menarik akan kami umumkan kepada semua peminat yang hadir,” katanya.

Bukan sekadar itu, lebih membuat mereka teruja adalah barisan artis lain yang terlibat seperti Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, Tuju dan Naki. 

Berkongsi pentas bersama penyanyi ini juga merupakan satu penghargaan yang terbaik buat mereka. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian Fazura beri kesan kepada industri muzik, Masdo nasihat siapkan diri sebelum buat persembahan

ARTIKEL BERKAITAN: Masdo tak sangka tercalon anugerah MTV, bersaing artis popular antarabangsa ada jutaan pengikut

“Sebenarnya, apa yang menarik perhatian kami untuk menyertai festival ini kerana barisan penyanyi yang hebat dan mempunyai pengaruh di dalam industri. 

"Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama dengan mereka menghiburkan peminat," ujarnya. 

Penyanyi lain yang juga turut membuat persembahan adalah Emptypage, Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby, dan Steadygang.

Sementara itu, Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, berkata pihaknya sangat teruja untuk menjayakan festival berkenaan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat.

Barisan artis Festival Muzik OOO 2025!

Brian juga percaya festival yang mengabungkan muzik pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam pasti tidak akan dilupakan oleh pengunjung. 

"Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” jelasnya. 

Festival yang akan berlangsung selama kira-kira lima jam itu bukan hanya menampilkan muzik bertaraf dunia namun turut menyediakan gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat.

Lebih menarik lagi apabila pengunjung boleh berhibur dengan hanya RM50 sahaja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain