ISTERI kepada penyanyi Sheqal menjadi peneman setia sejak dia dimasukkan Hospital Tunku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu akibat jangkitan kuman bahagian paru-paru.
Menurut Normah Mohd Yusof, 58, setiap hari dia akan ke hospital bagi memantau keadaan Sheqal meskipun suaminya itu tidak sedarkan diri.
Malah rasa sunyi dalam diri juga membuatkan dia sentiasa mahu berada di sisi suami.
Normah mahu sentiasa di sisi suami.
"Memang hari-hari saya akan pergi melawat dia, kadang-kadang sampai pukul 7 malam saya tunggu dan lihat keadaan suami.
"Selain daripada suami, dia juga seorang sahabat. Kami buat macam-macam perkara bersama, bila dia ditidurkan seperti ini tentunya saya rasa sunyi.
"Tapi harapan saya biarlah sesiapa yang mengenalinya doakan agar dia sembuh secepat mungkin daripada segala penyakit," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheqal ditidurkan, oksigen menurun akibat jangkitan paru-paru
ARTIKEL BERKAITAN: Raja Ema dedah anak-anak tak pernah kenal ayah mereka, tiada panggilan dari keluarga Sheqal
Normah juga memaklumkan Sheqal masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan namun keadaan penyanyi itu dilaporkan semakin baik.
Doktor yang merawat juga sedang berusaha untuk membangunkan Sheqal daripada rawatan tersebut namun masih belum menunjukkan sebarang perkembangan lagi.
"Setakat semalam (Jumaat) dia masih lagi ditidurkan dan doktor masih memantau untuk beri rawatan selanjutnya. Bacaan kencing manis dan darah tinggi sudah stabil. Pernafasan juga sudah 90 peratus ke atas walaupun dia masih lagi diberi bantuan.
Kami masih menunggu untuk dia sedar.
NORMAH MOHD YUSOF
ISTERI SHEQAL
"Ketika ini usaha-usaha untuk membangunkan sudah ada tapi doktor masih menunggu kerana mungkin terdapat kesan dari ubat tidur yang diberikan.
"Apa yang boleh saya katakan setakat ini kami masih menunggu untuk dia sedar," ujarnya.
Dalam pada itu Normah enggan memberi sebarang komen berhubung isu dua anak lelaki Sheqal yang belum berjumpa bapanya ketika sakit.
Baginya perkara tersebut tidak perlu dipanjang sehingga mengeruhkan keadaan.
Untuk rekod Sheqal dikurniakan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan bersama aktres Raja Ema.
Mereka berkahwin pada tahun 1993 namun hanya bertahan selama enam tahun.
Pada 7 Jun lalu, media melaporkan Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 59, ditidurkan di hospital selepas tahap oksigen penyanyi itu menurun sehingga 62 peratus.
Sheqal alami masalah kesihatan sejak 2020.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda.
Menerusi temu bual bersama mStar, Sheqal memberitahu dia tidak lagi mampu bekerja dan tidak menerima tawaran menyanyi seperti dahulu.
Sheqal sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube