suria

Waktu cuti pun kerja, adik Nabil Mentor dedah arwah terlalu ‘workaholic’ sampai kurang tidur

Madihah memberitahu walaupun pada hari cuti, arwah Nabil tetap bekerja mencari rezeki untuk keluarga.

ADIK kepada penyanyi dan pelakon Allahyarham Nabil Zamanhuri iaitu Madihah memberitahu abangnya itu seorang yang sangat kuat bekerja.

Menurut Madihah, 25, arwah tetap bekerja walaupun hari cuti dan sering tidak cukup tidur kerana terlalu komited dengan tugas.

"Dia kuat sangat bekerja. dia terpaksa bekerja setiap hari, walaupun pada hujung minggu. Kalau ada penggambaran selalu habis pukul 2 atau 3 pagi. Saya bukan ada maksudkan apa-apa, tapi itu saja.

size NP 1 (76)

Gambar kenangan bersama Nabil yang dikongsi Madihah di aplikasi X miliknya.

"Kami semua prihatin tetapi sudah tentu siapa yang boleh menghalang seorang lelaki yang rajin mahu mencari rezeki untuk keluarganya bukan? Tapi... apa terjadi tetap akan terjadi.

"Bayangkan masa cuti pun kena buat kerja dan tak cukup tidur setiap hari. Malaysia, buat lebih baik. Work life balance sangatlah penting ya," katanya.

Madihah berkongsi perkara itu menerusi satu ciapan di aplikasi X miliknya pada Isnin.

Dalam pada itu, Madihah sempat menitipkan doa buat Allahyarham yang banyak mengajarnya sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Mentor meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan jantung punca kematian Nabil Mentor, ibu kongsi arwah ada mengadu rasa tak sihat

Malah Madihah memberitahu ketika pengebumian jenazah, ramai yang menziarahi memberitahu Nabil individu yang baik.

"Al-Fatihah buat abangku yang telah meninggal dunia pagi semalam. Orang yang mengajar saya cara bermain permainan video, bercakap dengan saya tentang filem sci-fi.

"Merupakan penyanyi dan penari berbakat semasa zaman mudanya. Begitu ramai orang datang menemuinya semalam mengatakan dia seorang yang baik," ujarnya.

Pada pagi Ahad, Nabil menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

size NP 1 (75)

Ciapan Madihah mengenai abangnya.

Jenazah kemudiannya dibawa ke masjid di Ukay Perdana, Hulu Klang untuk dimandikan dan disolatkan.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang pada pukul 6.20 petang.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah pelakon pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, penyanyi Datuk Nora Ariffin dan personaliti media sosial, Ubaidillah Zulkefli.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Adelia Citra Hapsari dan dua orang cahaya mata perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain