suria

Misi bantuan gempa Turkiye buat Afdlin Shauki insaf, sebak tengok menara jam terhenti 4.17 pagi - “Terjumpa mayat mereka terus tanam”

Afdlin semasa serah bantuan kepada mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye.

SEJAK menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki (YAS) pada tahun 2015, pelawak dan pengarah terkenal Datuk Afdlin Shauki telah beberapa kali terbang ke luar negara demi menjayakan misi menghantar bantuan kemanusiaan.

Terbaharu, aktor berusia 52 tahun itu bersama pasukannya menjelajah ke bumi Turkiye dan Syria bagi menghantar bantuan kemanusiaan akibat beberapa kawasan di kedua-dua negara itu terjejas teruk akibat gempa bumi.

mStar bertanya sendiri pengalaman Afdlin dalam misinya pada Mac lalu selain harapannya terhadap yayasan dalam membantu lebih banyak insan tidak bernasib baik di seluruh dunia.

274968475_530686841702690_923177206607309652_n

Afdin ambil masa berjam-jam untuk misi bantuan kemanusiaan.

1. Umum mengetahui tidak mudah masuk ke kawasan terkesan akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria. Boleh Datuk kongsi cabaran yang perlu ditempuhi demi menghantar bantuan?

Saya dan pasukan saya mengambil masa dua hari untuk tiba di Syria yang merupakan tempat pertama kami untuk misi kali ini.

Sepanjang perjalanan dua hari itu, kami melalui beberapa transit sebelum tiba dia Adana dan memandu kereta untuk tiba di Reyhanli yang mana tempat badan bukan kerajaan (NGO) IHH berpusat.

IHH ini memainkan peranan membeli dan menyimpan barang bantuan yang kami akan serahkan kepada mangsa gempa.

Tiba di sana kami diberikan dorm penginapan untuk kami menetap selama misi bantuan kemanusiaan.

2. Boleh Datuk kongsikan bentuk bantuan yang dibawa Yayasan Afdlin Shauki?

Kami memberi bantuan seperti makanan panas yang sudah siap dimasak dan kepeluan barang harian lain. Makanan panas itu pasukan YAS bersama NGO IHH berkerjasama memasak sebelum mengaihkan kepada mangsa gempa di Syria dan Turkiye.

Makanan panas yang kami sediakan seperti nasi mandy bersama ayam atau daging mahupun roti. Kalau di Turkiye mereka lebih gemar roti manakala di Syria memilih nasi seperti kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto buka puasa dengan seorang wanita, Afdlin Shauki jawab status hubungan... “Memang kami selalu bersama”

ARTIKEL BERKAITAN: Afdlin Shauki ke Turkiye dan Syria bantu mangsa gempa bumi, bawa amanah RM60,000 sumbangan rakyat Malaysia

Kami hidang di atas dulang sebelum agihkan setiap satu kepada keluarga-keluarga yang tinggal di khemah.

Semasa di Karaman, Turkiye kami juga mengedarkan makanan panas untuk lebih 4,500 penduduk yang tinggal di dalam khemah namun ada juga yang tidak duduk di khemah tapi menumpang di rumah suadara mara yang tidak terjejas akibat gempa.

Bila kami buka tempat memasak, mereka akan datang beratur untuk mengambil makanan. Ketika itu saya lihat ramai yang dahulu senang kini semuanya telah susah.

339818562_1270997430291521_5548802312842501899_n

Afdlin bersama kanak-kanak di Syria dan Turkiye.

3. Boleh kongsi kejadian yang tidak boleh dilupakan atau menyentuh hati yang disaksikan sendiri sepanjang misi bantuan?

Selepas Syria kami bergerak ke beberapa kawasan di Turikye seperti Antakya dan Aramis. Dua tempat ini memang sudah musnah teruk dan semua bangunan di kawasan itu sudah roboh.

Bila tiba di sana, kami diberitahu yang mereka sudah berhenti mencari mayat dan sedang dalam proses pembersihan sisa-sisa bangunan yang runtuh.

Katanya, kalau terjumpa mayat mereka akan terus tanam dan tidak akan masukkan ke dalam statistik selepas 20,000 mangsa ditemui sebelum ini.

Bila kita tanya pasal kenapa tak kira mangsa lagi... mereka kata banyak keluarga mati. Sebab pada ketika itu mereka semua tengah tidur sebelum subuh mereka sudah ditimpa musibah itu. Jadi satu keluarga lenyap.

Saya terasa sebak apabila saya tengok menara jam di bandar Antakya yang mana jam tersebut berhenti pada waktu gempa iaitu 4.17 pagi.

Itulah waktu kejadian sebenar gempa yang memakan ribuan nyawa, sampai sebelum saya pulang jam itu masih berada di detik yang sama.

Sedihlah, kita bayangkan itu keluarga kita. Tak sempat buat apa, dalam 90 saat benda itu berlaku dan semuanya musnah sebab gempa terlalu kuat sangat.

4. Rintangan yang Datuk bersama pasukan YAS terpaksa hadapi?

Saya sayu hati melihat kawasan gempa itu, mana tidaknya semuanya musnah dalam sekelip mata. Saya juga berdepan dengan beberapa gegaran di sana, walaupun kecil tapi sangat terasa tapi apa yang saya kagum dengan Turkiye ini mereka cepat bertindak.

Bila berlaku sahaja gempa, mereka turus baiki jalan agar bantuan mudah sampai dengan cepat.

275137771_485189783047811_8917713562447877981_n

Afdlin semasa agihkan bantuan di Syria dan Turkiye.

5. Pengalaman tidur di dalam khemah?

Mestilah pernah, tapi bukan misi kali ini... dua misi musim sejuk sebelum ini. Khemah itu diperbuat daripada kanvas dan saya bersama pasukan tidur dalam khemah. Rasanya memang teruk, pasukan saya kata mereka tak boleh tahan kerana sejuk sangat waktu malam.

Semua orang cuba duduk dekat dengan pemanas, cuba bayangkan kalau tak ada pemanas atau kayu api macam mana mereka tahan sejuk. Setiap kali dalam misi, kami memang akan cuba rasa dan duduk dalam khemah untuk menyelami perasaan mereka.

Itu belum lagi kalau nak buang air kecil atau besar bukannya ada tandas tapi terpaksa pergi tempat jauh di kawasan lapang untuk menunaikan hajat mereka.

6. Bagaimana dengan misi di Palestin?

Plastien kita tidak boleh masuk tapi saya pernah ke sana dulu. Palstien adalah tempat pertama yang saya melawat pada 2012.

Walaupun tidak boleh pergi lagi tapi YAS mengumpul dana dan menghantar bantuan di sana melalui Cinta Gaza Malaysia yang diuruskan oleh Nadhir Al Nuri iaitu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan wanita Palestin serta menetap di sana.

Sebab sekarang ini orang luar tak boleh masuk tapi orang yang duduk di Palestin boleh keluar dan masuk ke negara itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain