suria

Hazama keluar zon selesa, cabar diri bawa watak antagonis dalam ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’

Hazama mengembangkan karier sebagai pelakon filem aksi.

SERINGKALI ditawarkan watak komedi dalam filem, tiba masanya penyanyi dan pelakon, Hazama beraksi dalam filem bergenre aksi yang lebih mencabar kemampuan selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia persada seni tanah air.

Hazama atau Hazama Ahmad Azmi berkata, tawaran berlakon watak antagonis dalam filem genre aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif dianggap peluang keemasan buatnya.

“Sebelum ini, saya sering ditawarkan watak komedi atau baik dalam lakonan. Sampai masanya saya keluar dari zon selesa. Sukar menolak apabila ditawarkan watak penjenayah, Kadok.

“Pada masa sama, saya memang minat filem aksi yang mengangkat wira perairan negara walaupun bukan watak utama.

“Ini juga filem ketujuh lakonan dan saya berkampung di Pulau Langkawi, Kedah selama sebulan untuk memberi fokus pada filem ini. Lokasi lain ialah di kawasan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang selama tiga hari,” katanya.

44

Barisan pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu menampilkan gandingan aktor dan aktres popular, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Selain Hazama, filem ini dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Afandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Mengulas wataknya, kata Hazama, dia banyak berguru dengan pelakon senior, Adlin Aman Ramlie dalam filem itu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ sentuhan terakhir Pitt Hanif, angkat kisah agensi Maritim Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tahun menyepi, filem aksi ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ buka hati Adlin Aman Ramlie kembali berlakon

“Saya bawa watak Kadok iaitu adik sepupu kepada ketua penjenayah iaitu Samat (Adlin) dalam filem ini. Saya bersyukur dapat berguru dengan Adlin, kami sudah kenal sejak dalam program realiti, Akademi Fantasia.

“Selain Adlin, saya juga dapat bekerja dengan pelakon dan pengarah hebat Sabri Yunus dalam filem ini. Bila berlakon dengannya, saya mendapat sama ‘vibe’ yang baik. Adlin banyak memberi bimbingan pada saya untuk menjiwai watak Kadok seperti dikehendaki skrip.

“Saya banyak berbincang dengan Adlin dan kami berkumpul dengan barisan pelakon yang memegang watak ahli kumpulan penjenayah supaya mudah mendapat keserasian,” katanya.

Ditanya babak sukar, kata Hazama, dia perlu menjayakan babak aksi perlawanan dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan).

Adlin banyak memberi bimbingan pada saya untuk menjiwai watak Kadok seperti dikehendaki skrip.

HAZAMA

PELAKON & PENYANYI

“Bayangkan, saya perlu buat percubaan babak aksi berlawan dengan Saharul sebanyak 150 kali (take) untuk mendapatkan hasil terbaik mengikut tuntutan skrip.

“Ia adalah babak aksi pertama dan ia perlu dibuat sebanyak itu kerana perlu dapat sudut betul depan kamera dan mengikut masanya. Terus terang, babak aksi ini paling berat kerana memerlukan stamina yang tinggi,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan arwah Pitt selaku pengarah, Hazama berkata, mulanya dia takut kerana arwah nampak garang, tegas dan ‘out spoken’ di lokasi.

“Bila sudah bekerja dengannya, saya nampak arwah seorang yang terus terang dan jujur. Kami dapat meluangkan masa bersama bila babak saya sudah selesai.

“Saya masih ingat, pada hari terakhir penggambaran, kami berbincang perancangan membuat lagu runut bunyi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang. Arwah mahukan lagu rock.

INSTA HAZAMA

Hazama memegang watak sebagai Kadok.

“Mesej terakhir arwah hantar juga mengenai rujukan lagu yang kami mahu hasilkan. Kami merancang berbincang mengenai lagu di studio, tetapi tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia,” katanya.

Ditanya harapannya, Hazama berkata, dia berharap penonton akan terhibur menonton filem ini selain ia mencapai sasaran kutipan RM13 juta.

“Semoga kutipan filem akan mencapai sasaran penerbit yang sudah mengeluarkan kos RM13 juta untuk memberikan terbaik pada filem ini.

“Pada masa sama, saya harap filem Coast Guard Malaysia akan menjadi antara filem yang berjaya, tahun ini,” katanya.

Ia mula menjengah pawagam seluruh negara pada 2 Februari lalu dan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain