suria

Tiga tahun menyepi, filem aksi ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ buka hati Adlin Aman Ramlie kembali berlakon

Adlin Aman Ramlie ubat rindu peminat dengan watak antagonis.

PELAKON Adlin Aman Ramlie mengubat rindu pada peminat apabila muncul dalam filem genre aksi selepas tiga tahun menyepikan diri.

Kata Adlin, 50, dia tertarik untuk melakonkan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang kerana naskah berkenaan bergenre aksi yang sememangnya dinanti selama ini.

“Sebenarnya, ada beberapa sebab saya terima tawaran berlakon dalam filem ini. Saya juga sudah kenal lama dengan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif sejak zaman 1990-an lagi ketika arwah belajar di Akademi Filem, manakala saya pula di Akademi Seni Kebangsaan.

IMG_1281

Antara babak lakonan Adlin Aman Ramlie di filem Coast Guard Malaysia.

“Saya percaya arwah Pitt juga yang mencadangkan nama saya kepada penerbit untuk membintangi filem ini. Saya rindu mahu kembali berlakon, jadi terima tawaran kerana memberi sokongan pada rakan dalam industri perfileman tempatan.

“Justeru, bila dapat tawaran buat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini yang juga genre aksi beruniform, saya terus tertarik kerana ia genre berbeza dan tak pernah buat sebelum ini,” katanya.

Dia yang memegang watak antagonis iaitu Samat yang merupakan ketua penjenayah dalam filem berkenaan mengakui bahawa babak pergaduhan di pulau antara yang mencabar yang dilakonkan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ sentuhan terakhir Pitt Hanif, angkat kisah agensi Maritim Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Dain Said terkejut lihat aksi pelakon muda, rupanya ramai berbakat... Sengaja bawa kelainan dalam filem ‘Harum Malam’

Malah dia terpaksa berkampung lebih tiga minggu di Pulau Langkawi sepanjang penggambaran filem itu.

“Filem ini menampilkan babak aksi pergaduhan yang penonton tidak pernah tengok saya lakonkan sebelum ini. Saya juga menjalani latihan ‘fighting‘ dengan bimbingan dari koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran. Selain itu, ada juga sesi latihan di studio.

“Babak pergaduhan itu aksi yang berterusan dan sudah namanya filem aksi, ia membabitkan banyak percubaan untuk dapatkan shot menarik. Setakat tubuh lebam-lebam buat babak bertinju itu perkara biasa dalam filem aksi.

Filem ini menampilkan babak aksi pergaduhan yang penonton tidak pernah tengok saya lakonkan sebelum ini.

ADLIN AMAN RAMLIE

PELAKON

“Banyak cabaran dihadapi ketika penggambaran di Pulau Langkawi kerana ia membabitkan kawasan laut dengan angin kuat dan ombak yang kencang. Ada masanya kami barisan pelakon dan kru terpaksa berpatah balik ke darat kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk kami meneruskan penggambaran,” katanya lagi.

Tambah Adlin, dia senang berkerjasama dengan Allhyarham Pitt yang mana mereka juga saling berkongsi idea untuk memastikan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang lebih baik.

“Arwah Pitt, penuntut lulusan bidang filem dan memiliki pengalaman luas dalam bidang pengarahan. Saya juga mengenali personaliti dirinya dan cara proses kerja dia saya sudah tahu. Kami juga berbincang mengenai watak ketika sesi pembacaan skrip dan saya juga beri idea dan pemikiran untuk menterjemahkan watak saya lebih matang berbanding pelakon lain.

IMG_1280

Adlin pegang watak Samat yang merupakan ketua penjenayah.

“Kalau saya berasa babak itu itu tak okay ketika sesi pembacaan skrip, saya beritahu kepada arwah dan cakap terus terang sahaja dengannya. Arwah juga beri kepercayaan pada keputusan yang saya buat dan memudahkan kami bekerjasama untuk memberikan yang terbaik pada filem itu,” tambahnya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu menampilkan gandingan dua aktor dan aktres popular Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Selain Adlin, filem ini dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain