suria

Dolla guna khidmat penulis Sweden, kembali dengan single rancak ‘Look At This’

Dolla muncul dengan lagu terbaharu bertajuk Look At This.

KETIKA namanya semakin meningkat naik, kumpulan Dolla muncul dengan lagu terbaharu bertajuk Look At This hasil ciptaan penulis berasal dari Sweden.

Tabby atau Tabitha Ariel Lam, 23, berkata lagu Look At This ini dicipta dan ditulis dalam Bahasa Inggeris kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu khas buat peminat Dolla.

Jelas Tabby, lagu rancak yang menceritakan tentang keyakinan diri seseorang dan menggambarkan keperibadian seseorang.

“Ia berkisar keyakinan diri dan tidak mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak juga memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan dirinya yang menarik," katanya.

Look At This berkisar keyakinan diri.

Kata Tabby, mereka memerlukan bantuan ramai pihak untuk mendapatkan irama yang sesuai ke dalam Bahasa Melayu memandangkan lirik asalnya sangat hebat.

Disebabkan itu, mereka telah berkerjasama dengan Cikgu Shafi dan SYA untuk membantu menyempurnakan lirik tersebut manakala di bahagian rapnya pula mendapat tunjuk ajar daripada Yonnyboii dan Asyraf Nasir.

"Berkat bantuan semua pihak hasilnya menjadi satu kejayaan buat kami. Kami sangat berpuas hati dengan karya ini dan segala penat lelah kami berbaloi," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dolla cemas ditahan ‘polis’ tepi jalan, minta tunjuk kad kuasa kena marah pula - “Kami sangka akan dirompak”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lelaki bukan penyamar... Polis sahkan Dolla diperiksa anggota sebenar sedang buat rondaan

Ditanya mengenai video muzik ini, Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, memberitahu lagu ini akan menampilkan sisi yang berlainan dari kumpulan Dolla.

Katanya, rentak tarian lebih berat selain menggunakan khidmat Ezra Tham untuk koreografi lebih menarik.

“Nuansanya berbeza sedikit dengan lagu-lagu kami yang lepas. Malah rentak tarinya juga lebih berat pada unsur hiphop. Namun kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari daripada UNC Dance Studio untuk membimbing kami dalam mereka tari.

"Untuk video muziknya pula kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi secebis kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua orang,” kongsinya.

1 (3)

Sementara itu, Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 27, memberitahu mereka terpaksa menyiapkan video muzik lagu ini selama sehari kerana cuaca yang tidak menentu.

“Cabaran pertama adalah kami terpaksa siapkan video muzik dalam satu hari lebih gara-gara cuaca yang buruk. Yang kedua adalah kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 jam untuk menyiapkannya.

“Pada asalnya kami ada dua hari tapi gara-gara cuaca begitulah halangan yang datang,” jelasnya.

Berkongsi mengenai harapan pula, Dolla berharap lagu ini dapat diterima oleh semua termasuk pasaran antarabangsa keran ia sesuatu yang berbeza dari apa yang kerap mereka tampilkan sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain