suria

Kerap ditanya soalan ‘mana Tuju?’, akhirnya Noki sahkan sudah keluar K-Clique... “Tak beri kesan apa-apa pun”

Noki (kanan) enggan ulas lanjut punca pengunduran Tuju.

SELEPAS lama berteka-teki mengenai ketiadaan Tuju menjayakan persembahan bersama kumpulan K-Clique, akhirnya salah seorang anggota iaitu Noki mengesahkan penyanyi itu sudah menamatkan perjalanan bersama kumpulan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 28, berkata Tuju mengambil keputusan membawa haluan sendiri kerana mahu fokus kerjaya solo.

"Betul dia (Tuju) sudah keluar K-Clique. Dia yang membuat keputusan itu dan mungkin mahu fokus untuk bangunkan nama sendiri.

tuju 1

Tuju kini meneruskan kerjaya seni secara solo.

"Kalau boleh saya pun tidak mahu memberi sebarang komen tentang hal tersebut tersebut. Perkara ini telah terjadi lebih kurang empat bulan lalu," katanya kepada mStar.

Tambah Noki pengunduran Tuju juga tidak memberi sebarang kesan terhadap perjalanan seni kumpulannya itu kerana mereka masih lagi menerima undangan persembahan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Dalam keluarga pertelingkahan perkara biasa” - Sudah lama tak berhubung, Fareed K-Clique dedah cerita sebenar Tuju ‘hilang’

ARTIKEL BERKAITAN: Tuju K-Clique reka sendiri kulit album guna aplikasi telefon bimbit... Isu kesilapan teknikal dah selesai

Malah, mereka juga sudah lama tidak merakamkan lagu bersama dan tiada sebarang kerja-kerja tertunggak yang perlu diselesaikan.

"Kami memang tidak berhubung selepas Tuju keluar K-Clique. Semua kerja antara kami sudah selesai, jadi tidak sebarang masalah jika dia keluar.

Perkara ini telah terjadi lebih kurang empat bulan lalu

NOKI K-CLIQUE

PENYANYI

"Malah dari segi persembahan juga berjalan seperti biasa. Tidak memberi kesan apa-apa pun kepada kami," jelasnya.

Sebelum ini, ramai dalam kalangan peminat sering bertanya apabila Tuju dilihat tidak tampil menyanyi bersama K-Clique dalam beberapa persembahan.

Bukan itu sahaja, Noki sendiri akui pertanyaan berkaitan hal tersebut sering kali diterima menerusi komen di media sosial.

k clique

Aktiviti seni K-Clique masih berjalan seperti biasa.

"Orang sering bertanya di mana Tuju. Jadi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, saya jelaskan perkara sebenar," ujarnya.

Selain Noki dan Tuju, K-Clique juga dianggotai oleh MK, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain