suria

Sorotan 2022: Hilangnya bintang dunia seni, karya mereka terus dalam kenangan

Dunia seni kehilanan bintang berharga.

SEPANJANG tahun 2022 dunia hiburan dikejutkan dengan kehilangan beberapa permata seni yang banyak berjasa menabur bakti dan bakat demi menghiburkan peminat.

Pemergian mereka tidak mungkin dapat diganti apabila mengenang kembali jasa dan sumbang diberikan sepanjang mengabdikan diri dalam industri.

Pastinya kehilangan ini memberi kesan amat mendalam buat peminat yang banyak memberi sokongan sepanjang mereka bergelar anak seni.

Antara nama besar yang pergi menghadap Ilahi tahun ini termasuklah Allahyarham Adibah Noor, Hamid Gurkha, Aman Shah, Bob Lokman dan Hisham Ahmad Tajudin.

Menerusi Sorotan 2022, mStar menghimpunkan senarai selebriti dan penggiat seni yang pergi terlebih dahulu. Al-Fatihah.

artis 2022 5

Jenaka Hamid sentiasa dalam kenangan peminat.

1. Hamid Gurkha (14 Jun 2022)

Selepas hampir seminggu dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas, pelakon legenda Hamid Gurkha disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang pada 14 Jun 2022.

Kesihatan Hamid dilaporkan tidak baik sejak tahun lalu dan hanya terlantar di rumahnya di Klang.

Allahyarham juga pernah dijangkiti virus Covid-19 pada Mei lalu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Kota Raja, Klang.

artis 2022

Keluarga Adibah juga tidak tahu tentang sakit yang dihidapinya.

2. Adibah Noor (18 Jun 2022)

Allahyarham Adibah Noor menghembuskan nafas terakhir pada 18 Jun di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pukul 7.40 malam dipercayai akibat kanser ovari tahap empat.

Ramai rakan artis dan peminat yang terkejut dengan berita pemergian Adibah kerena mereka tidak diberitahu tentang penyakit yang dihidapinya itu.

Malah Adibah juga sempat menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ke-8 dan berjaya sampai ke peringkat akhir.

Beberapa minggu sebelum meninggal dunia Adibah juga ada berkongsi gambarnya yang menampakkan penurunan berat badan mendadak namun enggan mendedahkan punca sebenar ketika itu.

artis 2022 4

Aman Shah meninggal dunia akibat sakit jantung.

3. Aman Shah (14 September 2022)

Penyanyi Aman Shah disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 September 2022 sekitar pukul 2 petang.

Allahyarham dilaporkan sudah menerima rawatan di IJN sejak seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Pemergian Aman juga telah membuka kisah lama tentang lagu popular nyanyiannya berjudul Kepulangan Yang Dinanti di mana karya tersebut ditujukan khas buat anak-anaknya.

Menurut salah seorang anak Aman iaitu Hadzly, dia dan bapanya pernah terpisah selepas penyanyi itu bercerai dengan ibunya namun hubungan mereka kembali bertaut dan menjadi lebih akrab.

Arwah Aman juga tidak banyak mencerita tentang penyakit jantung yang dihidapi dan keadaan kesihatannya dilaporkan baik sebelum meninggal dunia.

artis 2022 3

Bob sudah lama menderita sakit sebelum meninggal dunia.

4. Bob Lokman (23 September 2022)

Pelakon dan penulis lirik Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman disahkan meninggal dunia pada usia 58 tahun di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan pada 23 September 2022 sekitar pukul 2 petang.

Berkongsi berita sedih itu, anak kepada Bob memberitahu bapanya mengalami sesak nafas sejak seharai sebelum itu dan dia berada dalam keadaan lemah.

Kesihatan Allahyarham sebelum itu juga dilaporkan kurang baik di mana tahap penggunaan jantungnya hanya tinggal 10 peratus beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

Sejak beberapa tahun lalu, Bob pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat masalah jantung.

Arwah juga pernah dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@lIUM) di Kuantan, Pahang ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang.

artis 2022 2

Hisham antara artis veteran yang disegani.

5. Hisham Ahmad Tajudin (12 Oktober 2022)

Pelakon Hisham Ahmad Tajudin menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA), Selangor pada 12 Oktober pukul 4.30 petang.

Allahyarham yang berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di HSA sejak 29 September dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Untuk rekod, Hisham Ahmad Tajudin bergiat aktif dalam bidang seni sekitar tahun 1980.

Antara filem dan drama lakonannya ialah Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur dan Tok Ayah.

artis 2022 1

Punca kejadian Syazlin jatuh bangunan masih jadi tanda tanya.

6. Syazlin Zainal (10 November 2022)

Kematian pelakon Syazlin Zainal yang terjatuh daripada tingkat 22 di sebuah pengsapuri di Taman Iskandar, Johor Bharu pada 10 November lalu mengejutkan ramai pihak.

Dalam masa sama, pelbagai spekulasi mula timbul tentang punca kejadian tersebut.

Namun pihak polis dan ahli keluarga memohon agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2 kira-kira pukul 10 malam keesokkan harinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain