suria

Farhatul Fairuzah penerima muda darjah kebesaran Selangor, pasang impian mahu anjur lebih banyak program al-Quran

TOP farhatul - 1

JOHAN Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 yang juga merupakan personaliti TV, Farhatul Fairuzah merupakan antara penerima termuda darjah kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berbangga dengan pencapaiannya itu, Farhatul atau Nor Farhatul Fairuzah Panut, 22, bagaimanapun berkata pengiktirafan itu juga merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar.

"Alhamdulillah, rezeki saya kerana dikatakan saya penerima anugerah paling muda. Nak kata bangga, dalam masa sama saya juga takut sebab bagi saya ini merupakan satu tanggungjawab besar.

farha1 - 1

Farhatul (lima dari kanan) menerima pengiktirafan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor.

"Ia menjadi satu tanggungjawab untuk saya kongsikan kebaikan kepada golongan-golongan muda," katanya ketika dihubungi mStar.

Farhatul merupakan antara 17 individu yang dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor yang dilaksanakan di Istana Alam Syah, Klang pada Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Miliki 100,000 pengikut IG, Farhatul kongsi ilmu seni taranum, tarik generasi muda cintai al-Quran

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak tawaran terbit filem kisah ibu dan ayah... Ogy aktif projek wakaf al-Quran sebagai saham akhirat untuk arwah

Berkongsi perancangannya selepas menerima penghargaan itu, Farhatul berkata dia ingin menyampaikan ilmu al-Quran khususnya kepada golongan anak muda.

"Banyak sebenarnya impian saya, tetapi buat masa sekarang saya ingin menganjurkan program al-Quran, seperti membuat kelas al-Quran di media sosial.

Rezeki saya jadi penerima anugerah paling muda. Namun, saya juga berasa takut kerana ini merupakan satu tanggungjawab besar.

FARHATUL FAIRUZAH

QARIAH

"Anak-anak muda sekarang memang menggunakan media sosial sepenuhnya, jadi saya rasa dengan pendekatan ini, saya dapat menarik minat mereka terhadap al-Quran," ujarnya.

Dalam pada itu, Farhatul berkongsi detik manis apabila berpeluang bertemu dengan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang menyatakan hasrat ingin mempelajari mengenai bacaan al-Quran.

"Saya turut berbesar hati kerana dapat bertemu dengan Tengku Permaisuri Selangor yang begitu rendah diri.

"Baginda turut memberitahu untuk belajar berlagu dengan saya dan meminta untuk sentiasa terus berhubung," katanya.

farha2 - 1

Farhatul merakamkan foto kenangan bersama Tuanku Permasuri Selangor.

Untuk rekod, seramai 104 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor.

Tengku Zafrul antara dua penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Selain Farhatul, Johan Tilawah (Qariah) Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) 2022, Sofizah Mousin turut dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain