suria

Tolak tawaran terbit filem kisah ibu dan ayah… Ogy aktif projek wakaf al-Quran sebagai saham akhirat untuk arwah

Ogy mencari saham akhirat buat arwah ibu dan bapanya.

PELAKON Fauziah Ahmad Daud mendedahkan dia pernah menolak tawaran daripada penerbit yang berhasrat menghasilkan filem mengenai kisah hidup bapa dan ibunya iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham Datin Saadiah.

Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, penghasilan filem biografi itu bukanlah perkara yang diinginkan oleh kedua ibu bapanya, sebaliknya pahala amal jariah yang diperlukan oleh arwah.

"Sebelum ini, memang ada yang memberi tawaran untuk menerbitkan kisah tentang Allahyarham bapa dan ibu saya, tetapi saya tahu bukan ini yang mereka inginkan sekarang.

fauziah2 - 1

Ogy melakukan kebajikan untuk mengumpul pahala bagi kedua ibu bapanya.

"Mereka inginkan doa-doa kami. Jadi, apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah membuat amal-amal kebajikan untuk memberi pahala kepada ibu dan bapa," katanya kepada mStar.

Ogy berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di Majlis Kuliah Dhuha sempena pelancaran wakaf al-Quran yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden 'cekik' boleh elak kalau tahu teknik lakonan, Ogy Ahmad Daud kongsi pengalaman buat babak tarik rambut

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak suka cakap depan-depan" - Ogy Ahmad Daud tegur netizen tiada adab, berani hentam di media sosial

Dalam pada itu, Ogy memaklumkan sudah dua tahun dia memegang jawatan selaku Premier Volunteer Yayasan Ammirul Ummah (YAU) menjalankan program amal dan wakaf.

"Sewaktu saya ditawar oleh pihak YAU untuk menjadi volunteer dan membuat ulasan di Instagram mengenai yayasan berkenaan, memang saya tidak menolak.

"Saya berkata kepada pengasas YAU, saya ingin mengumpul saham akhirat untuk ibu dan bapa saya. Saya mahu mereka gembira di sana," ujarnya.

Memang ada tawaran untuk menerbitkan kisah tentang ibu dan bapa saya, tetapi bukan ini yang mereka inginkan sekarang.

OGY AHMAD DAUD

PELAKON

Berkongsi tentang pembabitannya bersama YAU, Ogy berkata dia telah menghasilkan beberapa filem pendek, termasuk Aidil & Atok dan Iqra’.

Kata Ogy, penerbitan filem pendek ini juga bertujuan untuk mempromosikan projek wakaf al-Quran.

Ini kerana dia tidak mahu masyarakat melihat Islam adalah agama yang rigid (keras) dan bukan semua hiburan itu melalaikan.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk kami bekerjasama. Saya tidak mahu masyarakat melihat Islam agama yang rigid. Hiburan bukan untuk melalaikan.

"Semua orang nak mengumpul saham akhirat, jadi bila Allah dah mengizinkan, saya rebut. Jadi, saya tampilkan pendekatan berbeza untuk mengajak orang ramai melakukan amal kebajikan," jelasnya.

fauziah1 - 1

Ogy kini aktif bersama Yayasan Ammirul Ummah.

Dalam perkembangan lain, Ogy telah melancarkan Program Wakaf 10,000 naskhah al-Quran bagi mempertingkatkan pembangunan Islamiah di rantau Asia Tenggara.

Kesemua 10,000 naskhah al-Quran berserta terjemahan itu akan diwakafkan ke Jawa Barat, Indonesia.

"Mengapa kami memilih Indonesia? Sejak kebelakangan ini banyak bencana yang berlaku di Jawa Barat seperti gempa bumi dan banjir.

"InsyaAllah, kami akan edarkan wakaf al-Quran ini pada Disember nanti dan saya menyeru agar lebih ramai individu tampil menyertai program ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain