suria

Proses rakaman ‘Tak Terganti’ paling lama dalam karier, Farahdhiya cipta lagu kenang Allahyarham bapa

Farahdhiya terkesan dengan pemergian Allahyarham bapanya dua tahun lalu.

SEBAGAI memperingati Allahyarham bapa iaitu Mohd Amin Zubir yang meninggal dunia dua tahun lalu, penyanyi Farahdhiya mencipta sebuah lagu khas berjudul Tak Terganti.

Farahdhiya atau Nur Farahdhiya Mohd Amin, 38, berkata, sepanjang proses mencipta dan merakamkan lagu berkenaan, hatinya mudah tersentuh kerana sentiasa teringatkan arwah bapanya.

"Sudah tentu apabila menyanyikan lagu ini saya sentiasa terbayangkan Allahyarham bapa. Setiap patah perkataan dalam lagu ini ada kena mengena dengan dirinya.

Farahdhiya rasa sangat terkesan atas pemergian arwah bapa.

Farahdhiya mengeluarkan single terbaharu yang berjudul Tak Terganti buat arwah bapanya.

"Jadi setiap kali mendengar atau menyanyikan Tak Terganti saya tidak dapat mengelak daripada terbayangkan arwah," katanya menerusi satu kenyataan kepada mStar.

Dalam pada itu, Farahdhiya berkata, lagu tersebut yang paling lama pernah dirakamkan sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi sekitar 20 tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Baru selesai jalani pembedahan, Farahdhiya diduga pula dengan Covid-19... Anggap Allah nak bagi rehat banyak

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Beberapa bulan rasa bimbang, Farahdhiya akhirnya selamat jalani pembedahan di bahagian leher

Kata penyanyi ini, dia mengambil masa sekitar lima ke enam jam untuk menyelesaikan rakaman lagu berkenaan.

"Selalunya saya ambil masa dua jam sahaja untuk merakamkan sebuah lagi sebab saya seorang yang fokus ketika berada dalam studio.

"Tetapi untuk lagu ini, saya ambil masa yang lama kerana agak sukar untuk saya sampaikan... saya ambil masa lima ke enam jam untuk menyiapkan rakaman," ujarnya.

Farahdhiya turut tampil dengan jalan cerita muzik video Tak Terganti.

Berkongsi proses menggubah lagu berkenaan, Farahdhiya berkata, dia tampil dengan melodi Tak Terganti dalam tempoh kurang daripada sebulan manakala untuk lirik hanya mengambil masa seminggu.

Bagi muzik video Tak Terganti, Farahdhiya turut tampil dengan jalan ceritanya selepas mendapat sokongan daripada pasukannya.

"Mereka minta untuk saya hasilkan muzik video sekali kerana lagu ini mempunyai kaitan dengan diri saya dan Alhamdulillah bagi jalan ceritanya ia adalah hasil idea saya sendiri," jelasnya

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain