suria

Demi kumpulan Search, Denden Gonjalez tolak tawaran sertai band dari Amerika Syarikat... Mahu teruskan karier di Malaysia

Denden bimbang kehadirannya tidak diterima peminat Search.

VOKALIS baharu Search iaitu Denden Gonjalez mendedahkan dia pernah dilamar beberapa kumpulan dari Amerika Syarikat apabila namanya mula dikenali selepas menyertai program The Voice Bulgaria tahun lalu.

Namun disebabkan minat dan mengidolakan kumpulan Search, Denden, 40, sanggup menolak semua tawaran itu dan memilih sebagai anggota baharu kumpulan legenda tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpecah dua kumpulan tapi guna nama sama, Din dakwa mereka Search sebenar... Vokalis baharu pula bimbang peminat tak terima

ARTIKEL BERKAITAN: Sengketa Search bersama Amy belum selesai! Nasir pula didakwa tak cakap betul, buat pusingan ‘U’

"Ada beberapa band baharu dari Amerika Syarikat yang menawarkan saya untuk jadi vokalis. Mereka mula kenal nama saya selepas menyertai The Voice di Bulgaria.

"Bagaimanapun saya buat keputusan untuk menyertai Search kerana kumpulan ini saya minat sejak kecil lagi dan mereka antara idola saya dalam bidang muzik," katanya kepada mStar.

Memilih jalan untuk memulakan kerjaya seni di Malaysia, Denden juga sanggup meninggalkan keluarga di Indonesia.

denden 1

Denden sanggup berjauhan dengan keluarga demi kerjaya.

Kata Denden, isteri dan tiga orang anaknya sudah biasa dengan keadaan dirinya yang tidak selalu berada di rumah kerana jadual kerja yang padat.

"Isteri dan anak-anak sudah biasa ditinggalkan. Mereka juga tidak kisah jika saya memilih untuk meneruskan kerjaya di sini.

"Saya juga tidak ada masalah untuk berulang-alik jika mahu bertemu keluarga," ujarnya.

Saya takut jika mereka sukar untuk menerima saya sebagai orang baharu

DENDEN GONJALEZ

VOKALIS SEARCH

Sementara itu, Denden yang bakal tampil dalam konsert pertama bersama Search pada 11 Jun ini akui gementar kerana senarai lagu-lagu yang dipilih adalah dari album yang jarang didengar.

Dalam masa sama, dia takut kehadirannya sebagai vokalis baharu tidak dapat diterima oleh peminat setia Search.

"Lagu-lagu yang disenaraikan agak asing di telinga saya. Jadi itu adalah satu kesukaran untuk saya berlatih. Selain itu semua lagu itu juga bernada tinggi.

denden 3

Bersama anggota Search lain.

"Apabila saya tampil sebagai vokalis baharu pasti peminat akan rasa berbeza. Saya takut jika mereka sukar untuk menerima saya sebagai orang baharu," ujarnya.

Denden menggantikan Amy yang membuat pengumuman keluar dari Search pada Mac 2020.

Dia bersama anggota asal Search lain iaitu Din, Kid, Yan dan Minn bakal tampil dalam konsert Search Rockin' On Rooftop yang akan diadakan pada 11 Jun ini bertempat di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain