suria

Kesihatan mental Scha Elinnea semakin baik, makan ubat ikut jadual

Kesihatan Scha semakin stabil namun masih bergantung kepada ubat.

DISAHKAN menghidap skizofrenia dan insomnia teruk pada November lalu, pelakon baru Scha Elinnea memberitahu kesihatan mentalnya kini semakin baik.

Biarpun masih mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan doktor, Scha, 22, berkata, penyakitnya itu tidak pernah mengganggu urusan kerja di lokasi penggambaran.

"Syukur semuanya dalam keadaan terkawal. Saya masih makan ubat yang diberikan dan perlu berjumpa doktor. Namun tidaklah sekerap dahulu dan doktor berikan ubat secukupnya untuk saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap skizofrenia, Scha Elinnea perlukan teman untuk tidur

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh guna ‘duit haram’ beli kereta mewah, Scha Elinnea nafi dibela ‘sugar daddy’ - “Ramai tak tahu saya bekerja sejak umur 15 tahun”

"Ada ketika saya masih alami mental breakdown tetapi tidaklah teruk sangat. Apa yang saya alami juga tidak pernah ganggu kerja-kerja di lokasi penggambaran," katanya kepada mStar.

Scha sebelum ini mendedahkan sudah lama mengidap penyakit mental itu yang menyebabkan dia sukar tidur malam dan keadaan menjadi lebih teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Scha ditemui ketika sidang media drama terbaharu lakonannya berjudul Kerana Aku Isteri Bidaan yang bakal bersiaran di slot Samarinda TV3, baru-baru ini.

Ada ketika saya masih alami mental breakdown tetapi tidaklah teruk sangat

SCHA ELINNEA

PELAKON

Menerusi drama kali ini, Scha membawa watak seorang gadis kampung yang kemudian berpindah ke ibu kota dan bekerja sebagai seorang GRO.

Membawakan watak sebegitu, Scha cukup bersedia menerima kecaman peminat yang mungkin akan mempertikaikan imej seksinya.

"Rasanya peminat sedia maklum bagaimana cara penampilan saya di luar drama dan sering dikatakan seksi. Bagaimanapun jika dalam drama saya hanya melakukannya untuk menjayakan sesebuah karakter.

"Walau sering dikatakan seksi, saya masih tahu menjaga batas agar tidak keterlaluan. Dalam drama ini juga bukan imej seksi sahaja yang mahu ditonjolkan, sebaliknya jalan cerita yang menarik," jelasnya.

"Kalau orang nak kecam kerana seksi dalam drama, saya tidak boleh bercakap apa sebab hanya mahu menghidupkan watak. Rasanya penonton boleh faham," jelasnya.

scha 1Scha sahut cabaran bawa watak GRO.

Sementara itu, sebagai pendatang baharu Scha juga akan mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu lakonan setiap kali bergandingan dengan mana-mana pelakon yang lebih senior.

Menerusi drama kali ini, dia diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon Hisyam Hamid.

"Drama kali ini saya banyak bermain dengan emosi. Dari seorang gadis kampung saya bertukar menjadi seorang GRO dan kemudian watak tersebut berkembang menjadi lebih matang.

"Saya dah pernah kenal Hisyam sebelum ini namun tidak banyak berlakon babak sama. Kali ini Hisyam banyak membantu dan kami akan sentiasa berbincang di lokasi untuk menjayakan sesuatu babak," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain