suria

Fara Hezel cemas anak terperangkap dalam kereta, pintu tiba-tiba ‘lock’ sendiri - “Saya minta orang pecahkan tingkap... risau dia lemas”

Fara Hezel bimbang anak terperangkap dalam kereta selepas pintu terkunci secara automatik.

PENYANYI Fara Hezel berdepan detik mencemaskan apabila anak sulungnya iaitu Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra terperangkap dalam kereta yang terkunci selepas beriadah di sebuah kawasan rekreasi di Terengganu pada petang Selasa.

Cerita Fara atau nama sebenar Nurfaraazira Yusri, 25, pintu kereta itu terkunci secara automatik selepas dia selesai meletakkan anaknya yang berusa setahun itu di kerusi bayi pada bahagian penumpang hadapan.

"Semasa kejadian hanya saya dan Aisy sahaja... kami dah nak balik rumah, saya letak Aisy di kerusi hadapan penumpang kemudian tutup pintu untuk bergerak ke bahagian pemandu.

ARTIKEL BERKAITAN: Fara Hezel timang anak lelaki, seronok jadi ibu muda - “Gembira tapi pada masa sama penat”

ARTIKEL BERKAITAN: Dah kahwin bukan alasan tinggalkan dunia esport! Fara Hezel sokong minat suami buat live streaming - “Boleh izinkan tapi kena ada komunikasi”

"Bila nak buka pintu pemandu tiba-tiba tengok dah terkunci dari dalam... kunci kereta pula tak ada dekat tangan saya sebab beg awal-awal lagi dah masukkan dalam kereta.

"Saya terus hilang arah, tak tahu nak buat macam mana, kereta pun belum start lagi risau kalau Aisy lemas dekat dalam... saya tak fikir panjang terus minta tolong orang sekeliling, saya pinjam telefon untuk hubungi suami dan minta mereka bantu bukakan pintu," katanya kepada mStar.

fara hezel 1

Fara kongsi kejadian itu di laman Instagram.

Tidak menunggu lama, kakak kepada penyanyi Aiman Tino ini berkata dia meminta bantuan orang awam memecahkan tingkap kereta milik suaminya itu.

Selepas beberapa kali mencuba akhirnya cermin pada bahagian penumpang belakang berjaya dipecahkan dan pintu dibuka.

Semasa itu saya memang kalut, minta tolong semua orang yang ada di situ, tak boleh nak fikir apa dah... risau kalau Aisy menangis.

FARA HEZEL

PENYANYI

"Selepas hubungi suami, dia terus bergerak datang ke kami, lokasi taman rekreasi tu tak jauh pun dari rumah... sementara dia dalam perjalanan itu saya minta tolong beberapa orang di situ untuk pecahkan tingkap.

"Beberapa kali cubaan nak pecahkan tingkap menggunakan batu tapi tak boleh. Datang seorang abang ni bawa besi dan akhirnya pecah juga tingkap kecil di bahagian belakang. Syukur Alhamdulillah... tak kisahlah tingkap kereta rosak asalkan pintu boleh dibuka.

"Semasa itu saya memang kalut, minta tolong semua orang yang ada di situ, tak boleh nak fikir apa dah... risau kalau Aisy menangis tapi syukur dia diam sahaja dan masih boleh ketawa tengok saya dari dalam," ujarnya.

fara hezel 2

Fara bersama suami dan anak mereka.

Penyanyi lagu Setiaku Pasti ini berkata dia menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati ketika berada di luar rumah.

Malah, dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantunya menyelesaikan masalah itu.

"Sebelum ni tak pernah pun berlaku kejadian terkunci dalam kereta, walaupun benda tak jangka nak berlaku tapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan pastikan kunci sentiasa berada bersama.

"Sampai sekarang saya masih terbayangkan insiden itu, cemas tu tak boleh nak cakap. Betul-betul jadi pengajaran. Nasihat saya untuk ibu bapa yang lain, kena sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

"Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada kakak-kakak dan abang-abang yang membantu semalam. Kalau mereka tak tolong tak tahu la macam mana," katanya yang kini menetap di kampung halaman suami di Kuala Terengganu.

Fara mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin pada 20 Disember 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama pada Oktober tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain