suria

Finas minta orang awam buat aduan produksi langgar SOP, buka kertas siasatan insiden penularan Covid-19 di Kuala Kangsar

(Gambar hiasan) Finas buka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pelanggaran SOP di lokasi penggambaran.

SUSULAN laporan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di sebuah lokasi penggambaran drama baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu.

Menerusi kenyataan media kepada mStar, Finas berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

"Finas mengambil maklum akan isu dan perkara yang telah menjadi tular di dalam portal dan platform media sosial berhubung dengan kes jangkitan Covid-19 yang melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Syafie Naswip jadi mangsa produksi langgar SOP ambil kru tak lengkap vaksin - “Selepas viral baru mahu tanggung semuanya”

ARTIKEL BERKAITAN: Produksi degil! Finas serbu lokasi penggambaran filem ketika PKP 3.0

"Finas telah mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya untuk tindakan selanjutnya. Selain itu, Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara.

"Penguatkuasa Finas telah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi SOP Penggambaran yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

finas 3

(Gambar hiasan) Finas pastikan produksi mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan.

Pada 10 Oktober lalu, media melaporkan Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Mohd Dean Lau Abdullah mempersoal tindakan produksi yang sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak pulang ke Kuala Lumpur selepas didapati tujuh orang dalam produksi itu sudah dijangkiti Covid-19.

Dean juga memberitahu ada antara mereka yang terbabit memberi info tidak benar kepada pegawai KKM apabila disoal semata-mata untuk melepaskan diri.

Finas sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang terlibat sama dalam menangani dan menyelesaikan isu yang berbangkit!

FINAS

Malah, Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) juga didakwa melarikan diri sebaik mengetahui terdapat penularan jangkitan Covid-19 dalam produksi yang dipantau.

PPP itu juga didakwa positif Covid-19 ketika pulang ke Kuala Lumpur selepas gagal menjalankan amanah yang diberikan.

finas 3

(Gambar hiasan) Pembukaan industri kreatif memberi kelegaan kepada ramai penggiat seni.​​​​​​

Dalam pada itu, Finas menyeru PPP yang dilantik menjalankan tugas sebaik-baiknya bagi memastikan industri kreatif dapat terus beroperasi meskipun negara sedang berjuang berdepan pandemik.

Malah, pihaknya terbuka menerima sebarang pandangan serta cadangan dan sentiasa mengalu-alukan aduan daripada orang ramai.

"Finas ingin mengingatkan kepada semua PPP yang telah dilantik oleh syarikat produksi masing-masing untuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan sentiasa memastikan artis dan krew mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan dan merekodkan di dalam Buku Log yang telah disediakan oleh Finas.

"Finas sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang terlibat sama dalam menangani dan menyelesaikan isu yang berbangkit ini demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

"Finas juga ingin menyatakan komitmen untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam untuk melaporkan kepada Finas sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP yang melibatkan aktiviti penggambaran,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain